Usaha melahirkan lebih ramai pelumba berbakat dan membangunkan sukan permotoran negara diteruskan dengan pengumuman 10 pusingan perlumbaan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS bagi musim 2016. Tahun 2016 merupakan musim ke-13 berturut-turut penajaan PETRONAS sebagai penaja utama Kejuaraan Cub Prix Malaysia. Pusingan pembukaan musim akan berlangsung di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps), Selangor pada 12 dan 13 Mac ini.
Bermula di Selangor, siri kejuaraan ini akan bergerak ke Pulau Pinang, Perlis, dan Kelantan yang kini kembali ke dalam kalendar perlumbaan selepas enam tahun. Kesemua lokasi perlumbaan ini adalah untuk separuh musim pertama 2016 sebelum berhenti rehat panjang menghadapi bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri, dan akan bersambung di Perak, diikuti Melaka, Johor, Pahang, Negeri Sembilan dan kembali ke Perak untuk aksi penamat musim 2016.
Tiada sebarang perubahan teknikal dilakukan pada musim ini sejajar dengan keadaan ekonomi semasa.
[caption id="attachment_5294" align="aligncenter" width="620"] Sebahagian Litar MAEPS di Serdang, Selangor[/caption]
“Bagi musim 2016, Kejuaraan ini akan terus mengekalkan enam kelas perlumbaan, perlumbaan terbuka CP130, CP115, Wira dan Pro-Am dan dua perlumbaan kategori satu pengeluar dengan Honda dan Yamaha yang menjadi platform untuk mencungkil bakat pelumba muda,” jelas Ron Hogg, Pengarah Urusan Safe Aim Mutual Sdn Bhd, promoter acara Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS.
“Melalui perbincangan bersama pasukan dan pengeluar, matlamat utama musim ini adalah untuk mengurangkan perbelanjaan perlumbaan ke tahap minimum. Sebarang perubahan teknikal pasti akan meningkatkan kos pembangunan pasukan. Minyak PETRONAS Primax pula akan kekal sebagai bahan api rasmi untuk kejuaraan. Pada masa sama kami juga mengkaji untuk mendapatkan lebih banyak kerjasama pihak berkaitan dalam industri ini untuk memberikan sokongan kepada pelumba-pelumba persendirian yang mengambil bahagian di dalam kategori Pro-AM.”
Pihak Kejuaraan turut mengumumkan komitmen berterusan PETRONAS dalam program pembangunan akar umbi pada tahun ini. Sebagai penaja utama kepada Kejuaraan Cub Prix Malaysia sejak 2003, PETRONAS menjadi penggerak utama kepada pembangunan sukan permotoran di Malaysia dengan platform perlumbaan ini telah memberi manfaat kepada ribuan pelumba berbakat di Malaysia.
“Pencapaian pelumba berprofil tinggi seperti Hafizh Syahrin Abdullah dan Ramdan Rosli, serta ikon permotoran nasional seperti Azlan Shah Kamaruzaman dan Zulfahmi Khairuddin merupakan antara yang paling ketara memandangkan mereka kini beraksi di peringkat antarabangsa setelah bermula di Kejuaraan Cub Prix ini.
“Tahun ini dua pelumba muda, Khairul Idham Pawi dan Adam Norrodin, turut akan memulakan memulakan karier di pentas dunia pula. Sokongan PETRONAS menjadikan industri sukan permotoran negara berkembang maju dengan ribuan belia dan remaja di Malaysia berjaya mengubah minat mendalam mereka terhadap perlumbaan kepada karier jangka masa panjang sebagai pelumba profesional, jurutera, juruteknik, pengurus pasukan dan juga usahawan,” tambah Ron.
Walaupun PETRONAS mempunyai rekod cemerlang di dalam pelbagai bidang sukan permotoran, namun penglibatan di dalam kejuaraan ini melebihi dari sekadar untuk membangunkan bakat-bakat berpotensi, tetapi sebaliknya turut bertindak sebagai platform untuk mencapai objektif perniagaan.
"Siri kejuaraan ini membantu untuk mengembangkan produk kami di dalam sektor pasaran dua roda selain turut menjadi landasan penting untuk menguji dan pembangunan untuk menghasilkan produk PETRONAS yang lebih baik kepada pengguna," kata Rizan Ismail , Pengurus Besar Bahagian Pengurusan Jenama, Kumpulan Komunikasi Strategik PETRONAS.
Kalendar Cub Prix Calendar 2016
Round | Venue |
Date |
Round 1 | MAEPS, Selangor | March 12 - 13, 2016 |
Round 2 | Batu Kawan, Penang | April 16 - 17, 2016 |
Round 3 | Kangar, Perlis | April 30 – May 1, 2016 |
Round 4 | Pasir Mas, Kelantan | May 20 – 21, 2016 |
Round 5 | Teluk Intan, Perak | July 30 – 31, 2016 |
Round 6 | Terengganu | August 20 – 21, 2016 |
Round 7 | Johor | September 2 – 3, 2016 |
Round 8 | Temerloh, Pahang | September 24 – 25, 2016 |
Round 9 | Jempol, Negeri Sembilan | October 22 – 23, 2016 |
Round 10 | Taiping, Perak | November 19 – 20, 2016 |