Kini, pengeluar itu tampil dengan kemaskini terbaharu yang menawarkan naiktaraf kelengkapan yang lebih sporti dan canggih.
Dari segi kuasa, ia mengekalkan enjin empat silinder sebaris bersesaran 249.8 cc yang mampu menjana kuasa setinggi 51 hp @ 15,500 rpm dan daya kilas 22.9 Nm @ 14,500 rpm, dipadankan dengan transmisi enam nisbah kelajuan dan klac slipper/assist.
Kawasaki mendakwa kelajuan tertinggi adalah sekitar 197 km/j.
Antara ciri baharu termasuklah penggunaan fork hadapan jenis terbalik 37 mm (SFF-BP) dengan tetapan pra-muatan (jarak pergerakan suspensi 120 mm), sementara bahagian belakang pula didatangkan dengan penyerap hentak jenis gas BFRC lite, juga hadir dengan tetapan pra-muatan (had pergerakan suspensi 122 mm).
Sistem ekzos baharu turut ditawarkan di mana ia kini mampu memenuhi piawaian Euro 4.
Sementara itu, skrin kluster semi-digital pada model terdahulu telah digantikan dengan skrin paparan digital TFT berwarna penuh.
Ciri baharu ini membolehkan pemilik menghubungkan jentera mereka kepada peranti pintar menerusi aplikasi Kawasaki Rideology.
Antara ciri moden lain yang turut ditawarkan termasuklah indikasi tunggangan ekonomikal, Kawasaki Quick Shifter (KQS), Kawasaki Traction Control (KTRC), mod tunggangan berkuasa serta sistem brek anti-kunci (ABS).
Harga jualan Kawasaki ZX-25RR 2023 bermula dari IDR 129,900,000 (RM39,597) di pasaran Indonesia.
Sumber: Bikes Republic