Difahamkan, kerja-kerja pembinaan kapal selam S-26T tersebut sudah hampir siap sepenuhnya, namun pihak Tentera Laut Thailand terpaksa berhadapan dengan masalah yang tidak dijangka - penghantaran tertangguh disebabkan tiada enjin diesel elektrik yang dimuatkan pada kapal selam tersebut.
Menurut laporan daripada Defence Security Asia, ketika perjanjian pembelian tersebut dibuat dengan China, Bangkok dijanjikan dengan kapal selam yang dikuasakan oleh enjin buatan Jerman, iaitu MTU Friedrichshafen GmbH.
Namun begitu, China telah dikenakan sekatan ekonomi oleh Kesatuan Eropah yang menghalang penggunaan enjin buatan negara kesatuan tersebut pada mana-mana sistem pertahanan buatan China, termasuklah kapal selam.
Penasihat kepada pihak pertahanan Jerman di Thailand, Philip Doert berkata, China tidak pernah berbincang dengan negara tersebut berhubung cadangan untuk menggunakan enjin buatan Jerman pada kapal selam buatan mereka.
Malah beliau turut mengesahkan Jerman tidak akan menyerahkan enjinnya untuk digunakan oleh kapal selam China.
Dalam pada itu, Kementerian Luar China membidas tindakan tersebut dengan mengatakan tindakan embargo Kesatuan Eropah itu adalah tidak konsisten dengan keadaan semasa di dunia serta hubungan antara China dan EU, dan berharap EU akan segera membetulkan keputusannya.
Pihak Tentera Laut Thailand pula akan melakukan rundingan semula dengan China memandangkan negara itu berkemungkinan akan menangguhkan lagi penghantaran kapal selam pertamanya ke negara Asia Tenggara itu.
Pihak Tentera itu juga turut menolak cadangan daripada China untuk menggunakan enjin buatannya sendiri pada kapal selam yang dipesan oleh Thailand.
Sumber: Defence Security Asia