Daripada 15 buah EV, tujuh daripadanya merupakan model khusus untuk Lexus.
Selepas memperlihatkan SUV elektrik RZ 450e yang merupakan adik beradik kepada Toyota bZ4X dan Subaru SolTerra, Lexus kini menampilkan sebuah lagi SUV elektrik dengan dimensi yang jauh lebih besar, dinamakan sebagai Lexus Electrified SUV.
Dari segi penampilan, ia membawakan reka bentuk yang lebih maskulin dengan garis bumbung yang lebih rata, arka roda yang berisi, rekaan pemegang pintu yang tertanam kemas, serta tidak ketinggalan rekaan gril spindle ikonik Lexus.
Sementara bahagian belakang pula menampilkan bampar yang agak agresif, diikuti dengan bar lampu LED yang melintang penuh, dan ejaan jenama LEXUS.
Menjelang tahun 2030, Toyota dan Lexus mensasarkan sehingga 30 buah EV dengan sasaran jualan 3.5 juta unit di peringkat global.
Lexus juga akan menjadi sebuah jenama kenderaan elektrik sepenuhnya di Eropah, Amerika Syarikat dan China dengan sasaran jualan kira-kira 1 juta EV.