Tidak seperti kali pertama ditunjukkan kepada umum oleh Elon Musk, model prototaip ini menampilkan beberapa perubahan yang memberikan petanda bakal memasuki fasa produksi kelak.
Seperti contoh, kehadiran penyeka kaca tunggal yang diposisikan menegak selari dengan tiang A, cermin sisi tradisional, ketiadaan pemegang pintu fizikal, serta set roda yang diperoleh daripada Model 3 tanpa sebarang pelindung aerodinamik.
Namun secara kasarnya, ia masih lagi membawakan bentuk yang agak bersegi, tiada sebarang perubahan yang ketara terhadap bentuk badan secara keseluruhannya.
Tesla sebelum ini diberitakan akan menawarkan Cybertruck dalam dua versi dimensi, salah satu daripadanya merupakan trak pikap saiz penuh sementara sebuah lagi memiliki dimensi 20 peratus lebih kecil dan bakal memberikan saingan kepada trak pikap saiz pertengahan, seperti Ford Ranger.
Dalam perkembangan terbaharu, CEO Tesla Elon Musk mengesahkan produksi Cybertruck ditangguhkan (lagi) ke tahun 2023, dan ini bermakna, tiada sebarang pelancaran rasmi untuk tahun ini.
Selain daripada Cybertruck, model Tesla lain seperti Tesla Semi dan Tesla Roadster turut menerima nasib yang serupa.
Ini kerana menurut Elon Musk, fokus Tesla untuk tahun ini adalah untuk menumpukan perhatian dalam meningkatkan angka produksi model sedia ada.
Sumber: Cybertruck Owners Club