Dalam satu kenyataan, operator lebuh raya itu berkata, ia turut melanjutkan pengecualian sewa bulanan selama dua minggu kepada rakan niaga yang terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Selangor.
Pada masa yang sama, PLUS juga sedang meneliti cadangan pembayaran secara berkala serta pengecualian caj bayaran lewat untuk rakan niaganya, termasuk pengusaha tempatan R&R di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), Terengganu.
Menurut PLUS, ia telah memberikan bantuan pengurangan sewa kepada pengendali perniagaan sejak tahun lalu berikutan impak sekatan perjalanan rentas negeri.
Ketua Perhubungan Libat Urus Strategik PLUS, Syed Mohammed Idid, berkata pihaknya telah membantu pengendali perniagaan di R&R secara konsisten sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan pertama pada Mac 2020.
"Kami sudah menganjurkan pelbagai program latihan dalam talian dan meningkatkan penggunaan teknologi bagi meningkatkan kebolehan rakan niaga mengadaptasi perniagaan mereka demi mendepani cabaran perniagaan disebabkan COVID-19," katanya.