"Projek pembinaan lapangan terbang itu di lokasi baharu tujuh kilometer dari pusat bandar Mukah, dimulakan sejak 11 Ogos 2017 menggantikan STOLport Mukah dengan kapasiti baharu iaitu 265,000 penumpang setahun," katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, lapangan terbang itu antara lain dilengkapi bangunan terminal baharu seluas 3,125 meter persegi, landasan sepanjang 1,500 meter dan lebar 30 meter, sistem pemantauan angin dan jarak penglihatan landasan, sistem navigasi radio dan sistem pencahayaan pendekatan sederhana.
"Lapangan Terbang Baharu Mukah direka bentuk untuk memberikan keselesaan dan menepati kehendak rakyat Mukah menggunakan perkhidmatan udara luar bandar yang menjadi nadi kepada pergerakan penumpang dan barangan di kawasan terbabit," katanya.
Ka Siong berkata, lapangan terbang baharu ini akan menyokong pembangunan di bawah Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) dengan memudahkan pergerakan sektor perdagangan dan eksport produk tempatan di daerah Mukah.
"Pembangunan Lapangan Terbang Baharu Mukah juga akan menyokong pembangunan daerah itu sebagai hab pendidikan, pusat penyelidikan serta aktiviti di Taman Perindustrian Matadeng," katanya.
Beliau berkata, pengoperasian lapangan terbang itu diharap dapat memudahkan akses pembekalan vaksin COVID-19 ke kawasan pedalaman seterusnya merealisasikan hasrat kerajaan dalam membina imuniti kelompok menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.