Pada 11 Mac 1971 di Pameran Kenderaan Geneva, Lamborghini Countach LP 500 berwarna kuning dipertontonkan buat kali pertama di depan orang ramai.
Model prototaip itu berada di ruang pameran Carrozzeria Bertone dan sambutan yang diterima sangat menggalakkan.
Tontonan itu begitu berjaya sehingga Lamborghini terpaksa bertarung dengan masa bagi memenuhi permintaan pelanggan dan menjadikan model prototaip itu realiti untuk jalanan.
Projek Countach dikenali dengan kod nama dalaman LP112 di mana LP merujuk kepada Longitudinale Posteriore di dalam bahasa Itali atau enjin 12 silinder pada kedudukan memanjang di belakang.
Individu penting di dalam projek ini ialah Paolo Stanzani, seorang jurutera yang telah bersama Lamborghini sejak 1963 dan pada tahun 1968 menduduki jawatan Pengurus Besar dan Pengarah Teknikal dan bertanggungjawab terhadap aspek mekanikal Countach.
Rekaan Countach yang futuristik digayakan oleh Marcello Gandini, Pengarah Reka Bentuk Carrozzeria Bertone.
Beliau juga individu yang bertanggungjawab di sebalik keputusan menggunakan 'pintu gunting' (scissor doors) dan sejak itu membentuk karakter model Lamborghini dengan enjin 12 silinder.
Satu lagi fakta yang perlu diketahui ialah prototaip LP500 ini sangat berbeza dengan model jalanan Countach yang dikeluarkan pada tahun 1974.
Di antara perbezaan ialah penggunaan platform jenis rangka berbanding jenis bulat (tubular), enjin 4971cc 12 silinder, liang kemasukan udara dengan rekaan jeriji jerung dan di dalamnya mempunyai perkakasan elektronik canggih.
Selepas kejayaan di Geneva, kereta ini dipasang dengan enjin 4.0 liter yang lebih tahan dan digunakan oleh Bob Wallace, ketua pemandu uji Lamborghini.
Hayat kereta ini tamat pada awal 1974 apabila ia digunakan untuk ujian pelanggaran bagi tujuan homologasi kereta produksi dan seterusnya dilupuskan.
Hayat sebenar Countach pula bertahan lama, dari 1974 hingga 1990 sebanyak 1,999 unit dikeluarkan dalam lima siri berbeza.
Pada tempoh ini juga Countach banyak terpapar di poster-poster dan menjadi objek untuk dilakarkan di atas kertas.
Ini juga mungkin tempoh di mana tercetusnya impian untuk ramai kanak-kanak dan remaja mengidamkan sebuah Lamborghini.
50 tahun dan bentuk begini masih kekal relevan!
Lagi artikel mengenai Lamborghini Countach:
LAMBORGHINI COUNTACH - SENI REKA BENTUK MENDAHULUI ZAMAN
Penulis: Muhammad Md Tajudin