Melalui pelantikan pakar-pakar dalam pelbagai bidang Pengajian Islam daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), ia diharap akan memperkasa usaha MIROS menjalankan penyelidikan keselamatan jalan raya dari sudut pandang Islam.
Kajian bersepadu MIROS-UKM ini adalah yang pertama di Malaysia dan Asia Tenggara.
Penyelidikan melalui kluster IVORY ini akan melibatkan kajian terhadap masyarakat Islam yang merupakan majoriti penduduk di negara ini serta yang paling tinggi terlibat dalam kemalangan maut.
Allah berfirman: “Dan barangsiapa yang memelihara kehidupan seorang manusia, maka seolah-olah dia telah memelihara kehidupan manusia semuanya.” (QS. Al Maidah: 32).
Gabungan kerjasama MIROS-UKM melalui penyelidikan ini dijangka akan menghasilkan kajian keselamatan jalan raya melalui kaca mata Islam menggunakan kaedah kuantitatif dan kualitatif, bersifat spesifik, kolektif, komprehensif, terarah, terancang, sistematik, berstrategi dan konsisten.
Misalnya, keselamatan jalan raya boleh dilihat dari sudut akidah dan kepercayaan, syariah dan amalan, akhlak dan tingkah laku, maqasid dan tujuan syariah, dan sebagainya. Tahap kajian pula bermula dari individu, keluarga, komuniti, masyarakat, negara sehingga ke peringkat antarabangsa.
Kluster IVORY serta kerjasama MIROS-UKM ini bukan sahaja berhasrat untuk mengeluarkan kertas-kertas, artikel dan buku hasil kajian, malahan akan turut berusaha untuk turun ke padang bagi mengadakan kempen berteraskan komuniti melalui tazkirah, ceramah dan khutbah.
Ia turut menjadikan usaha menyelamatkan manusia dari nahas jalan raya melalui pendekatan Islam sebagai aktiviti, program dan operasi berterusan. Aktiviti kempen secara menyeluruh ini juga akan melibatkan agamawan, cerdik pandai Islam, selebriti, dan pelbagai lapisan masyarakat. Adalah diharap agar usaha ini akan menyumbang ke arah peningkatan tahap keselamatan jalan raya di Malaysia.
Watikah pelantikan telah disampaikan oleh YBrs. Ketua Pengarah MIROS, Ir. Ts. Dr. Khairil Anwar bin Abu Kassim (Prof. Adjung) kepada Dr. Wan Haslan Khairuddin dan wakil-wakil Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), dengan disaksikan oleh Ketua Kluster IVORY dari MIROS, Ts. Dr. Iskandar bin Abdul Hamid.