Nissan, Mitsubishi bangunkan kei-car EV, jarak operasi ~200 km, harga kurang dari RM75k

oleh Mohamad Hanif|
Nissan Motor dan rakan sepakatannya, Mitsubishi Motors merancang untuk memperkenalkan model kereta mini (kei-car) berkuasa elektrik seawal tahun hadapan dengan sasaran harga jualan di bawah julat 2 juta yen (~RM75,499) selepas subsidi.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Disebabkan kei-car kebanyakannya digunakan oleh rakyat Jepun untuk perjalanan dalam bandar serta pemanduan jarak dekat, kei-car elektrik ini diberitakan bakal menawarkan jarak operasi sekitar 200 km.

Namun, bergantung kepada subsidi yang ditawarkan oleh kerajaan tempatan seperti contoh Tokyo (450,000 yen, atau RM16,987), harga jualan tersebut berkemungkinan besar akan menjadi lebih murah.

 


Di Jepun, kereta kecil (atau kei-car) merupakan satu mod pengangkutan yang cukup penting, merangkumi 40 peratus daripada jumlah kenderaan disebabkan saiznya yang sesuai untuk digunakan di dalam bandar, serta cukai yang cukup murah.

Jadi segmen kenderaan kecil ini memainkan peranan yang cukup penting dalam usaha untuk memacu pemilikan kenderaan elektrik di sana, di mana Jepun agak ketinggalan jika dibandingkan dengan negara lain seperti Eropah dan China.

Selain daripada jenama automotif, syarikat minyak dan gas Idemitsu juga sebelum ini diberitakan akan hadir dengan kenderaan elektrik tersendiri dengan harga jualan di bawah 1.5 juta yen (~RM56,624).

Sumber: Nikkei Asia Review