Ketua Kampung Sumurgeneng, Gihanto, mengesahkan perkara itu.
"Benar, penduduk kampung menjadi 'jutawan segera'. Ramai sibuk membeli kereta. Sebanyak 176 kereta baharu telah dihantar ke kampung ini dan selebihnya masih dalam proses dokumen," katanya.
Menurutnya, pembelian kereta secara berkelompok menjadikan kampung itu tular di laman sosial.
"Apabila penghantaran sebanyak 17 kereta secara serentak di kampung ini, ia menjadi bualan hangat netizen dan tular di laman sosial.
"Kami tidak menyangka perkara ini mendapat perhatian ramai pihak," katanya yang bersyukur kehidupan penduduk lebih baik terutama dalam tempoh pandemik Covid-19.
Seorang penduduk dikenali sebagai Tain, 38 berkata, tanah itu dijual sebelum Covid-19 melanda negaranya.
"Ya, tanah dijual sebelum Covid-19 tetapi proses pembayaran agak lewat kerana negara dilanda wabak ini jadi semua urusan tergendala.
"Tetapi kini, semuanya sudah selesai dan wang pampasan sudah dibayar," katanya.
Seorang lagi penerima, Siti Nurul Hidayatin bersyukur kerana kehidupannya jauh lebih baik terutama ketika menghadapi pandemik Covid-19.
"Kami juga bersyukur dengan apa yang telah diberikan oleh ALLAH. Kampung ini sudah menjadi kampung jutawan," katanya.
Yang menarik perhatian adalah kesemua kenderaan yang dibeli telah dihantar menggunakan trak tunda (tow truck). Bahkan, penghantaran tersebut turut mendapat pengawalan lalu lintas dari pihak berwajib.
Di antara kenderaan yang menjadi pilihan pembelian mereka adalah Toyota Innova, Honda HRV, Honda Jazz, Mitsubishi Xpander dan Mitsubishi Pajero.