"Pada September, kami telah mencatatkan jualan bulanan tertinggi sepanjang 27 tahun sejarah Perodua dan kini, telah mengatasi pencapaian berkenaan," katanya dalam satu kenyataan.
Pada bulan dikaji, Perodua telah menjual 8,052 unit Myvi, 6,738 unit Axia, 6,895 unit Bezza, 3,193 unit Aruz dan 1,974 unit Alza.
Ketiga-tiga model teratas kekal sebagai kenderaan terlaris di Malaysia setakat tahun ini.
Zainal Abidin berkata, kejayaan itu penting kepada Perodua bagi membuktikan komitmennya terhadap penghantaran secepat mungkin dan juga peranannya dalam memulihara ekosistem automotif.
"Dalam Oktober sahaja, kami telah membelanjakan sebanyak RM600 juta untuk membeli komponen daripada pembekal tempatan, seterusnya menghasilkan kesan pengganda ekonomi yang besar kepada ekosistem automotif tempatan, yang turut terkesan dengan pandemik yang kita hadapi sekarang," katanya.
Ekosistem automotif merangkumi sektor langsung dan tidak langsung, seperti pembekal komponen automotif, pengedar sah, stokis, agensi dan kontraktor.
Rakan niaga tidak langsung termasuk institusi kewangan seperti bank dan syarikat insurans.
Dari segi kapasiti pengeluaran, beliau menjelaskan, Perodua kini berada di 98 peratus secara purata pada Oktober dengan pengeluaran 26,362 kenderaan, yang juga menjadi angka bulanan tertinggi daripada kilangnya di Sungai Choh.
"Kejayaan ini dicapai dengan prosedur operasi standard (SOP) baharu yang diikuti oleh setiap kakitangan dan rakan niaga kami, termasuk bekerja dari rumah serta ujian mandatori bagi mereka yang berada di zon merah, bersama dengan SOP asal yang diperkenalkan pada Mei.
"Dengan komitmen pembekal serta pengedar sah, kami dapat menjual lebih banyak kenderaan dan yang paling penting, memastikan kepuasan pelanggan kerana kenderaan Perodua dihantar dalam tempoh yang terdekat.
"Strategi kami seterusnya adalah untuk memanfaatkan penawaran nilai dan kualiti dalam produk dan perkhidmatan kami kepada rakyat Malaysia," katanya.
Zainal Abidin berkata, Perodua sedang berusaha untuk mengekalkan momentum jualan dan pengeluaran bagi memastikan penghantaran kekal tinggi dan pelanggan berpuas hati dengan tawaran kenderaan dan perkhidmatan mampu milik syarikat.