Tidak seperti generasi terdahulu Mazda BT-50 yang berkongsi platform dengan Ford Ranger, Mazda kali ini menggunakan platform trak pikap daripada Isuzu, namun dengan membawakan rekaan yang tersendiri 'Kodo'.
Mazda BT-50 untuk pasaran Australia akan ditawarkan dalam versi enjin 3.0 liter diesel sahaja, menghasilkan 188 hp dan 450 Nm dan mempunyai keupayaan untuk menunda beban seberat 3,500 kg dan had muatan 1,000 kg.
Dari segi luaran, Mazda berjaya 'memasang' rekaan identiti tersendiri pada BT-50 dimulakan dengan unit lampu utama, rekaan gril hadapan krom yang gagah terpampang sebelum diakhiri dengan unit kluster lampu kabus dan lampu membelok yang diposisikan menegak.
Perubahan besar juga turut dibawakan di bahagian ruang kabin BT-50, di mana ia kini menampilkan roda stereng yang lebih sporti, serta sistem infotainmen besar yang menyokong sambungan kepada Apple CarPlay dan Android Auto.
Kemasan upholsteri kulit boleh dilihat pada bahagian seperti terowong transmisi, papan pemuka, konsol tengah dan juga tempat duduk.