KONSEP menonton wayang di dalam kereta sudah lama dipraktikkan di beberapa negara seperti Amerika Syarikat, Australia dan negara Eropah.
Di Malaysia pula, masyarakat zaman dahulu berhibur dengan menonton wayang di kawasan terbuka dengan layar skrin yang besar atau wayang pacak.
Namun, seiring dengan teknologi dan penularan wabak Covid-19, konsep menonton wayang di dalam kereta turut diperkenalkan di Malaysia dan Perak menjadi negeri pertama menawarkan pengalaman baru itu kepada pencinta filem.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu merupakan individu yang memberi idea bagi membangunkan cinema diberi nama Sini-Drive itu.
Menurut Ahmad Faizal, pengalaman berdepan dengan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang tidak dibenarkan pawagam beroperasi kerana penjarakan sosial telah mencetus idea kepada beliau untuk memulakan tayangan wayang berkonsepkan wayang pacak seperti yang pernah dilalui pada zaman kanak-kanak dahulu.
“Sebenarnya ilham ini datang daripada pengalaman waktu PKP yang perlu menjaga jarak sosial, maka saya fikir jangan biar Covid-19 mengawal kita tetapi kita yang harus mengawal Covid-19. Jadi datang lah idea untuk berhibur dengan menonton filem melalui wayang pandu masuk ini.”
“Kalau dulu saya menonton filem Grease dan di situ saya melihat bagaimana orang di Amerika menonton wayang dalam kereta dan waktu kita kanak-kanak dulu saya biasa membesar dengan wayang- wayang pacak oleh jabatan penerangan suasana sebegitu dapat dikembalikan dengan usaha ini,” katanya kepada media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Casuarina Sini-Drive di Ipoh.
Sementara itu Ketua Pengarah Eksekutif Perak Corporation Berhad (PCB), Zainal Iskandar Ismail berkata, Sini-Drive boleh memuatkan 70 buah kenderaan pada setiap kali tayangan dengan paparan skrin bersaiz 6 x 18 kaki.
Katanya, orang ramai boleh membuat tempahan tiket tayangan filem yang dikenakan bayaran antara RM36 hingga RM42 bagi setiap kenderaan dengan set snek serta minuman secara dalam talian di laman web http://www.sini-drive.com.my.
“Satu frekuensi khas akan diberi kepada penonton untuk audio tayangan filem berkenaan dapat didengar terus dari radio kenderaan masing-masing,” katanya.
Artikel oleh Hamimah Hamid dan Mohd. UmzarulFaiz Umar