Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya, berkata dalam kejadian pada jam 4.50 pagi, Toyota Corolla KE70 dipandu mangsa dalam perjalanan dari Dataran Merdeka ke Shah Alam.
"Mangsa dikatakan gagal mengawal kenderaannya di selekoh di Jalan Kuching sebelum merempuh pembahagi jalan di sebelah kiri.
"Bagaimanapun, pemandu sempat membuka pintu dan melompat keluar sebelum keretanya terjatuh dan terjunam ke dalam sungai," katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut, Zulkefly berkata, hasil ujian pernafasan dengan menggunakan Evidential Breath Analyzer (EBA) mendapati mangsa tidak mabuk ketika kejadian berkenaan.
"Mangsa yang cedera di dahi dan siku kiri kini ditempatkan di Subang Medical Centre untuk rawatan susulan," katanya.
Terdahulu, media melaporkan saksi awam mendakwa pemandu kereta terbabit berjaya menyelamatkan diri dan hanya cedera ringan.
Mangsa dikatakan beredar dari tempat kejadian sejurus kemalangan untuk ke klinik berhampiran yang tidak dapat dipastikan lokasinya.
Orang awam kemudian memaklumkan perkara itu kepada pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menarik kenderaan keluar dari dalam sungai.
Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur dalam kenyataan, memaklumkan sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sentul dan Hang Tuah melaksanakan kerja mengeluarkan kenderaan itu dari sungai.