Sebelum ini pembunuhan lelaki kulit hitam, George Floyd ketika dalam tahanan polis di Amerika Syarikat bulan lalu mencetuskan kemarahan gerakan anti perkauman di seluruh dunia.
Hamilton, satu-satunya pelumba kulit hitam dalam saingan F1, akan menubuhkan pertubuhan yang diharap mampu menaikkan minat remaja kulit hitam dalam sukan pemotoran.
Mercedes dalam satu kenyataan menyatakan organisasi mereka hanya mempunyai pekerja golongan minoriti dan memiliki 12 peratus saja pekerja wanita.
"Kekurangan pelbagai kaum ini menunjukkan kita perlu mencari kaedah baru untuk menarik minat mereka yang berbakat dari masyarakat yang sebelum ini kita tidak pernah ada," katanya.
Ketika menyatakan bahawa pasukan itu sangat berbangga dengan 'nilai' dan 'budaya' kenyataan itu juga menyebut pergerakan 'Black Lives Matter' menunjukkan bahawa mereka perlu mencari kaedan dan tindakan baru untuk memerangi sikap perkauman serta diskriminasi.
"Bagi 2020, kami memilih untuk menggunakan jentera hitam pekat sebagai ikrar untuk mempertingkatkan kepelbagaian kaum di dalam pasukan dan ia satu mesej jelas bahawa kami menentang sikap perkauman serta diskriminasi," jelas pasukan berkenaan.
Ketua Pasukan Mercedes, Toto Wolff, mengakui perkauman dan diskriminasi tidak ada tempat dalam masyarakat, sukan serta pasukan mereka.