Manakan tidaknya, tatkala genre kenderaan elektrik semakin meningkat di mata dunia, Mazda masih lagi kekal degil meneruskan kajian menghasilkan enjin yang lebih bersih menerusi teknologi Skyactiv.
Tatkala pengeluar lain sibuk dengan teknologi hibrid, Mazda masih yakin teknologi enjin mereka masih lagi mampu menyelamatkan alam sekitar.
Dan sebagai sebahagian daripada program pembangunan jangka panjang Sustainable Zoom 2030, Mazda komited untuk mengurangkan emisi CO2 purata dari telaga-ke-tayar (Well-to-wheel) sehingga 50 peratus menjelang 2030, dan 90 peratus menjelang 2050.
Jadi, apa yang mahu dilakukan oleh Mazda?
Meneroka kemungkinan baharu menerusi penggunaan bahan api bio (biofuel) daripada alga yang boleh diperbaharui untuk mengurangkan emisi CO2 dengan lebih drastik.
Menurut Mazda, bahan api bio daripada alga ketika dibakar hanya melepaskan gas CO2 yang diserap daripada atmosfera ketika pertumbuhan alga itu sendiri.
Dan ini merupakan satu titik permulaan untuk mencapai nilai neutral karbon yang dilepaskan oleh kenderaan berenjin pembakaran dalaman!
Apa yang pasti, sebagai salah sebuah sumber tenaga yang boleh diperbaharui, alga mempunyai banyak kelebihan seperti boleh ditanam di mana-mana tempat yang tidak sesuai untuk program agrikultur, tidak mendatangkan impak yang besar kepada sumber air bersih, titik suhu pembakaran yang tinggi, serta lebih mesra alam.
Walaubagaimanapun, Mazda masih lagi memerlukan masa untuk membuktikan bahawa teknologi ini mampu berdiri dengan sendiri, dan mereka sedia meminjamkan sokongan teknikal kepada Universiti Hiroshima dan Tokyo Institute of Technologi dalam merealisasikan impian gila ini.