Sedan segmen D tersebut telah disahkan bakal menerima varian yang lebih berkuasa, dan sebuah prototaip Sonata dengan lencana N-Line telah pun muncul di internet mengesahkan kehadiran model tersebut dalam masa terdekat.
Kenapa N-Line dan bukan sebuah model N penuh seperti i30 N atau Veloster N?
Menurut jurucakap Hyundai, "(Hyundai Sonata N) bukanlah perancangan masa hadapan kami terhadap sedan tersebut."
Pun begitu, prestasi Hyundai Sonata N-Line tidak boleh dipandang remeh, ini kerana ia bakal didatangkan dengan enjin empat silinder sebaris 2.5 liter dengan sistem induksi paksaan turbo, menghasilkan 290 kuasa kuda dan 420 Nm daya kilas.
Kuasa tersebut disalurkan kepada sistem pacuan roda hadapan menerusi sistem transmisi klac berkembar yang dikhususkan kepada varian ini sahaja, dan ia juga bakal dipakai pada Veloster N kelak.
Bagi menyerlahkan lagi rupa Sonata N-Line ini, Hyundai telah mendatangkan set rim bersaiz 19 inci serta layout empat tip ekzos di bahagian belakang.
Melihatkan kepada pengenalan Hyundai Sonata N-Line, tidak dapat disangkal lagi ia merupakan permulaan kepada beberapa buah model yang bakal memakai lencana yang sama kelak.
Jenama N-Line ini mungkin sekali dapat mendekatkan para peminat kepada jenama Hyundai yang suatu ketika dahulu bukanlah pilihan utama bagi mereka yang mahukan kelajuan.