Di Amerika Syarikat, sedan ini memang popular dan Toyota turut memposisikannya sebagai model sporti melalui pengenalan Camry TRD pada 9 September lalu.
Lebih menarik apabila Toyota memaklumkan Camry TRD ini dikeluarkan susulan permintaan peminat yang mahukan sebuah sedan dengan pengaruh litar lumba. Camry sendiri adalah nama besar di dalam perlumbaan NASCAR.
Gayaan aerodinamik Camry dibuat oleh studio reka bentuk Toyota di Calty, California manakala bahagian casis diuruskan oleh TRD.
Camry TRD menggunakan enjin 3.5 liter V6 verkuasa 301 hp dan dipadankan bersama transmisi lapan kelajuan automatik.
Enjin tersebut kini bernafas lega melalui penggunaan ekzos berkembar talaan TRD yang turut menghasilkan irama bunyi lebih bergema.
Casis Camry diperkukuhkan dengan spring lebih tegar dan palang sway depan dan belakang bagi mencapai kadar ketegaran olengan 44 peratus pada bahagian depan dan 67 peratus pada belakang.
Toyota turut menggantikan suspensi asal kepada set TRD untuk mengawal pergerakan vertikal dan olengan sewaktu pemanduan berprestasi di samping mengekalkan tahap keselesaan di atas jalan raya.
Prestasi brek ditala supaya mempunyai respon lebih tepat kepada pemandu selari dengan karakter baharu yang lebih sporti.
Bagi mengurangkan understeer, Toyota melengkapi model ini dengan Active Cornering Assist yang berfungsi dengan mengagihkan daya brek pada tayar sebelah dalam apabila pedal minyak dilepaskan.
Dari segi gayaan dan aerodinamik, kit badan Camry ini terdiri daripada splitter depan, skirt sisi, spoiler but dan peresap (diffuser) belakang.
Warna merah pula dikenakan pada angkup brek dan logo bagi menaikkan lagi penampilan garang.
Untuk kombinasi rim dan tayar, ukuran yang digunakan ialah 19 x 8.5 inci dan setengah inci lebih lebar daripada rim standard.
Walaupun lebih lebar, setiap satu rim baharu ini sebenarnya 1.4 kg lebih ringan berbanding rim 19 x 8 inci pada varian XSE. Rim berwarna hitam kusam pada model ini dipadankan dengan tayar Bridgestone Potenza 235/40R19.
Imej yang agresif diseimbangkan dengan sistem keselamatan standard Toyota Safety Sense-P yang mengandungi sejumlah teknologi bantuan pemanduan.
Pada bahagian dalaman, pemilik varian TRD ini disambut dengan kemasan merah pada kerusi, stereng dan tali pinggang keledar.
Logo TRD pula terdapat di merata tempat seperti perehat kepala, tombol gear, pelapik kaki dan but dan visual paparan pada bahagian meter.
Bagi memiliki sedan eksekutif Toyota Camry TRD ini, pengguna di AS perlu membayar USD$31,040 (RM129,799).
Harga tersebut jauh rendah jika dibandingkan dengan negara kita atau pasaran ASEAN lain, bezanya ialah skala ekonomi AS yang jumlahnya berbelas juta unit setahun.
Penulis: Muhammad Md Tajudin