Azman menerangkan perancangan PLUS itu kepada Berita Harian bulan lalu dan menambah lebih banyak pilihan mod pembayaran mampu mengurangkan kesesakan akibat masalah pada sistem tunggal Touch N Go sekarang.
"Salah satu punca utama ialah baki kad TnG yang kurang dan menyebabkan palang tidak terangkat," ujarnya.
"Satu lagi masalah ialah pengguna seringkali terlupa untuk menambah nilai kad TnG kerana kad tersebut ditinggalkan di dalam kereta, bukannya di dalam dompet," tambah Azman.
Walaupun PLUS menjadi operator terbesar lebuhraya di dalam negara, sistem pembayaran tunggal yang digunakan di semua plaza tol sekarang dimiliki oleh syarikat Touch N Go Berhad.
Baru-baru ini, perkhidmatan kad bayar TnG itu dikecam hebat oleh pengguna media sosial kerana monopoli yang dinikmati oleh syarikat tersebut.
TnG juga dikecam kerana kad tersebut mempunyai jangkahayat dan ramai pengguna yang mengadu kerana baki di dalam kad lama tidak dapat ditukarkan kepada wang tunai.
Walaupun TnG akhirnya tampil menerangkan pertukaran baki kepada wang tunai akan melumpuhkan sistem komputer mereka, ramai pengguna nampaknya mahukan pilihan sistem pembayaran yang lain.