Sudah hampir 10 tahun usia Proton Exora dan platform usang tersebut memang perlukan pembaharuan dari pihak Proton.
Namun, sebelum Proton menamatkan riwayat Exora, mereka tampil dengan sebuah lagi kemas kini kepada MPV tersebut.
Berdasarkan satu hantaran di laman rasmi Facebook Proton, jenama nasional tersebut telah menyiarkan gambar MPV Proton Exora facelift yang bakal dilancarkan esok.
Ia merupakan kemas kini ketiga yang ditawarkan semenjak pelancarannya pada tahun 2009, di mana versi Bold dilancarkan pada 2011 manakala versi yang dipertingkat pula pada dua tahun yang lalu.
Berdasarkan gambar, tiada perubahan ketara dikesan di bahagian luaran, tidak seperti Persona dan Iriz yang dilancarkan bulan lalu.
Namun, warna rosewood maroon yang dipertontonkan merupakan warna baharu yang ditawarkan untuk Proton Exora.
Tumpuan diberikan kepada head unit skrin sentuh bersaiz tujuh inci yang dibangunkan berdasarkan unit Global Key User Interface (GKUI) pada X70.
Unit ini juga turut menerima ciri arahan suara "Hi Proton!", selain akses kepada kandungan musik dalam talian, serta sambungan Internet 4G.
Paparan kluster meter juga turut dikemaskini bagi menjadikan ia lebih moden dan kemas jika dibandingkan dengan Exora terdahulu.
Bagi mereka yang menunggu Exora baharu, usah risau kerana Geely telah menjanjikan model tersebut (Geely Jiaji, VF11) akan hadir ke pasaran Malaysia selepas pelancaran rasmi Proton X70 CKD dan Proton X50.