Dengan rekaan yang dilihat menyerupai Mercedes-Benz G-Wagen, Suzuki Jimny masih mengekalkan imej kekotakan yang dibawa daripada generasi terdahulu.
Menurut jurucakap Suzuki, pembangunan model generasi terkini Jimny ini masih mengekalkan fokus kepada ciri asal karakteristik pengendalian off-road yang ikonik kepada Jimny ini.
Terdapat gambar yang diterbitkan oleh Suzuki menunjukkan penggunaan casis jenis ladder frame yang turut mengesahkan penggunaan sistem gantungan jenis three-link rigid axle dan transfer case bagi julat rendah penggunaan gear ketika off-road.
Bahagian dalaman Jimny juga telah diperbaharui dengan kemasan yang ringkas, moden dan berfungsi dengan penampilan sistem hiburan skrin sentuh di tengah papan pemuka.
Rekaan luaran pula menampakkan pengaruh daripada Mercedes-Benz G-Class dengan penampilan arca roda bersegi dan lampu belakang yang diletakkan pada bahagian bumper.
Sumber dalaman menyatakan Suzuki Jimny bakal menerima nadi enjin turbo tiga silinder 1.0 liter Boosterjet di samping penawaran enjin 1.2 liter aspirasi normal.