Cerita di sebalik protes ini bermula pada 27 April apabila sebuah syarikat bas baru bernama Megurin telah mula beroperasi.
Namun begitu, didapati sebahagian daripada laluan operasi Megurin ini bertindih dengan sebahagian laluan bas yang dioperasikan oleh syarikat Ryobi.
Di samping menawarkan tambang yang lebih murah berbanding pesaingnya Ryobi, Megurin juga turut menyediakan bas yang agak comel bagi menarik perhatian pelanggan.
Tidak berpuas hati dengan perkembangan tersebut, para pemandu bas Ryobi mengadu hal tersebut ke pihak atasan oleh kerana pendapatan mereka terjejas disebabkan penambahan operasi oleh syarikat pesaing terhadap laluan yang sama.
Namun, permintaan mereka tidak dilayan.
Sebagai tanda protes terhadap layanan pihak pengurusan terhadap hal itu, para pemandu bas menjalankan tunjuk perasaan mereka dengan cara menolak bayaran daripada pelanggan ketika menggunakan khidmat mereka.
Menurut satu gambar yang dikongsikan oleh pembaca di sana, kelihatan pemandu bas Ryobi membungkus mesin bayaran di dalam bas mereka sebagai tanda protes.
Hal ini menunjukkan para pemandu bas di Jepun masih lagi berdedikasi ketika menjalankan tugas yang telah ditetapkan, dan memprotes tindakan majikan dengan cara yang masih berbudi bahasa.
Berlainan dengan apa yang kita ada, tidak begitu?
Sumber: Japan Today