NIO Capital, sebuah firma pelaburan yang mempunyai hubung kait rapat dengan syarikat kenderaan elektrik NIO kini hampir melengkapkan fasa pertama kutipan dana sebanyak US $500 juta menurut sumber dalaman.
Manakala Horizon Robotics Inc., sebuah syarikat baru yang mensasarkan penguasaan pasaran hampir 30 juta kenderaan autonomi di China menjelang 2025 turut melakukan perkara yang sama bagi meningkatkan keupayaan penyelidikannya di dalam bidang tersebut.
Menerusi pelan Made In China 2025, kerajaan China telah berikrar untuk menjadikan sektor perkilangan sebagai ekonomi kedua terbesar negara itu dengan berbilion-bilion dollar nilai pelaburan telah dilabur bagi membangunkan dan memperolehi teknologi luar khususnya di dalam sektor automotif.
Usaha Amerika Syarikat yang dikatakan menghalang pesaing dari China akses kepada teknologi itu menjadi pendorong kepada usaha di atas.
Dalam satu temu bual, Zhang Junyi, pengasas NIO Capital berkata: "Halangan itu adalah insentif yang baik bagi syarikat China untuk melabur di dalam teknologi dan penyelidikan asas."
"Dalam jangka masa yang pendek, ia tentunya mempunyai impak kepada ekonomi, tetapi untuk jangka masa yang panjang, ia membantu memperkukuhkan penguasaan kita (menjelang 2025)," ujar beliau.
Pengasas dan CEO Horizon Robotics, Yu Kai turut menyokong pendapat Zhang berkenaan isu tersebut.
"Keputusan (halangan) daripada pihak pentadbiran Trump mungkin akan menyebabkan kerajaan China berbelanja besar untuk perniagaan berasaskan teknologi," kata Yu.
Horizon Robotics kini mencatatkan peningkatan dana sebanyak beberapa ratus juta dollar dan dijangka lengkap menjelang bulan Mei. Mereka juga bakal melakukan kerjasama dengan sebuah syarikat semikonduktor global selain dari Intel Corp dan beberapa pengeluar kereta China untuk menjadi pelabur strategik yang baru.
Berpengkalan di Beijing, Horizon Robotics kini merancang mengembangkan lagi pasukan penyelidikan dan pembangunan mereka dalam usaha untuk menjadi pemain nombor satu automotif di China.
Horizon Robotics dan NIO adalah antara syarikat yang mempamerkan produk terbaru mereka di Pameran Automotif Antarabangsa Beijing bermula minggu ini.
Sumber: Bloomberg