Mitsubishi Motors adalah pengeksport terbesar kenderaan di Thailand - 80% produksi untuk pasaran global!

oleh Careta.my|
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024
Selepas membuka kilang di Bekasi Indonesia pada Selasa lepas yang berharga RM2.2 bilion nampaknya Mitsubishi Motors sekali lagi mencatat sejarah apabila menjadi pengeksport terbesar Thailand pada tahun fiskal 2016. Rekod itu adalah yang pertama buat syarikat dengan jumlah eksport sebanyak 309,915 unit dalam tempoh 12 bulan sehingga 31 Mac 2017. Prestasi eksport tersebut menjadikan kilang di Laem Chabang sebagai hab produksi terbesar global untuk Mitsubishi Motors dengan lebih 80 peratus keluaran untuk pasaran eksport. Mitsubishi Motors turut mengumumkan prestasi tersebut serentak dengan lawatan Carlos Ghosn ke Kawasan Perindustrian Laem Chabang iaitu kunjungan pertama beliau sejak dilantik sebagai Pengerusi Mitsubishi Motors pada Disember lalu. Kapasiti pengeluaran di Laem Chabang adalah yang terbesar di antara kilang Mitsubishi lain di dunia di mana kenderaan dieksport ke lebih 120 negara. "Kilang di Laem Chabang adalah contoh kekuatan yang ada dalam perniagaan Mitsubishi Motors." kata Carlos Ghosn. "Fasiliti pengeluaran bertaraf dunia ini mampu menghasilkan 424,000 kenderaan setahun. Sebagai peneraju dalam bidang eksport automotif di Thailand, kilang ini telah menjadi hab produksi global untuk Mitsubishi Motors." Mitsubishi Motors menyertai Pakatan Renault-Nissan tahun lalu yang merupakan kumpulan automotif ketiga terbesar dunia dengan jualan hampir 10 juta kenderaan setahun. Seterusnya, Mitsubishi Motors akan disokong oleh pemerolehan, logistik dan penggunaan kilang yang lebih baik serta akses kepada perkongsian teknologi dan pelantar kenderaan yang sama hasil daripada pelaburan lebih besar daripada kumpulan automotif yang disertainya. Mitsubishi Motors Thailand mempunyai empat kilang di Thailand dengan lebih 6,000 pekerja. Pada tahun fiskal lalu, sebanyak 353,000 kenderaan dikeluarkan dan dieksport ke pelbagai negara iaitu 28 peratus ke Eropah, Asia dan ASEAN 25 peratus, Amerika Utara 21 peratus, Oceania 12 peratus dan lain-lain negara sebanyak 14 peratus. Penulis: Muhammad Md Tajudin Foto: (C) Mitsubishi Motors Thailand