JURNAL 6: Didik dahulu, baru denda

oleh Careta.my|

Minggu lalu, saya menunggang motosikal saya ke rumah adik di Putrajaya dari rumah saya di Serdang, satu perjalanan yang boleh dikatakan sangat singkat - senafas kera kata kawan-kawan di kampung.

Tetapi apa yang terjadi sangat menyedihkan - dalam tempoh beberapa minit dalam saya mahu meninggalkan kawasan Putrajaya, saya lihat dua penunggang motosikal dan dua pemandu kereta melanggar lampu merah.

Ini berlaku di empat persimpangan berbeza, dalam sela masa tak sampai 10 minit.

Bayangkan kalau dalam masa 10 minit saya sendiri boleh nampak empat pesalah laku trafik yang dengan selamba badak melanggar lampu merah, ada berapa ratus lagi pengguna jalanraya di Putrajaya yang berperangai sebegitu?

traffic-light

Dua daripada mereka itu pula tahu saya "mengherdik" perbuatan mereka dengan cara membunyikan hon tetapi seperti badak sumbu Sumatera, mereka menoleh dan mencebik, seolah-olah saya yang bersalah. Sayang sekali tidak seperti badak sumbu Sumatera yang dipercayai hampir pupus kerana hanya ada tiga ekor sahaja di dalam hutan negara, spesis pelanggar lampu merah ini semakin meningkat kadar populasinya.

Namun begitu, saya tidak salahkan mereka.

Mungkin lima tahun lalu, saya akan salahkan mereka 100 peratus tetapi semakin saya fikirkan, saya faham - dari berusaha mencari mereka dan memberi surat saman, adalah lebih berfaedah jika kita fikirkan punca sebenar kenapa mereka boleh bertindak sedemikian.

Kerana itu, di sini saya ingin berkongsi pendapat untuk kita sama-sama renungkan, kenapa kes-kes salah laku trafik ini semakin berleluasa dan dianggap kesalahan remeh.

Masyarakat kita tidak matang

Sungguh menyedihkan kerana masyarakat kita berfikiran serong terhadap mana-mana agensi penguatkuasa.

Sekiranya peniaga ditangkap dan dirampas bahan perniagaannya, semua akan menuduh penguatkuasa sebagai kejam dan zalim.

Jika ada yang ternampak anggota polis trafik memegang kamera perangkap halaju, disamakan mereka dengan haiwan haram.

Dan bila kereta kita dikunci tayarnya oleh majlis bandaran, dikatakan penguatkuasa tidak mampu berfikir secara logik dan hanya mahukan duit saman.

Cuba anda fikirkan jika ada yang membuka gerai di hadapan rumah anda sendiri, menyebabkan laman rumah anda penuh dengan sampah dan kenderaan diparkir secara bersepah oleh pengunjung gerai itu.

Atau ada peniaga yang membuka gerai di hadapan sekolah anak anda, dan menjual gula-gula dengan kandungan merkuri tinggi dari China.

Bagaimana pula bila anda dalam keadaan tergesa-gesa dan tiba-tiba kereta anda dihalang dari keluar petak parkir oleh kenderaan lain yang parkir secara haram?

Undang-undang diwujudkan untuk menjaga hak semua dan agama sendiri berkata undang-undang yang membawa kebaikan wajib dituruti.

Dan untuk membuktikan bahawa masyarakat kita masih tidak matang, lihat sahaja pada ruangan komen di akhir artikel ini - pasti akan ada yang menyalahkan kerajaan, pihak media, syarikat kenderaan, orang awam, makhluk halus dan mungkin penduduk di benua Antartika. Tidak pernah mereka akan mengaku kesalahan itu terletak pada diri mereka sendiri.

Menghukum lebih glam - mendidik susah, leceh

Menghukum adalah jalan termudah untuk mengawal sesuatu keadaan. Sayangnya, sekiranya hanya kawalan dan hukuman yang kita praktikkan, masyarakat akan menjadi tertekan dan mereka akan menurut perintah tanpa sebarang pemahaman kenapa ia perlu diikuti. Akibatnya, mereka akan memberontak.

Kerana itu, bila masyarakat menjadi bodoh sombong seperti apa yang saya nyatakan dalam fakta pertama tadi, ini ialah direct result dari kekurangan pendidikan.

Pendidikan bukan bererti belajar A, B dan C di sekolah. Ia memerlukan lebih dari itu, dan ia perlu diadakan dengan kerap. Jepun tidak mengambil masa setahun dua untuk menghasilkan rakyat dengan pemikiran semaju sekarang. Kita perlu bermula sekarang, atau menyambung kembali apa yang kita telah laksanakan dahulu.

Bilakah kali terakhir anda melihat kempen keselamatan di jalanraya? Kempen berhenti di lampu merah? Kempen menggunakan tali pinggang keselamatan? Kempen memastikan tayar kenderaan kita dalam keadaan elok?

Apakah sumber-sumber untuk kita belajar tentang undang-undang trafik? Tahukag anda bila kita berada di simpang, siapa yang patut jalan dahulu? Bolehkah kita parkir di seberang jalan melawan arus trafik? Tahukah anda yang kita perlu perlahankan kenderaan bila tiba di zebra crossing?

Setiap kali saya bertanyakan kepada Jabatan Keselamatan Jalan Raya atau JKJR tentang kekurangan kempen keselamatan, jawapan yang akan diberikan ialah kekangan kewangan.

Ya saya faham, setiap tahun kerajaan bukan menambah, tetapi mengurangkan bajet untuk aktiviti JKJR. Memang itu ialah satu masalah yang menyedihkan.

[caption id="attachment_15662" align="aligncenter" width="900"]pos indon Pos polis trafik begini ada di mana-mana di Indonesia. Kehadiran polis membantu, dan ia tidak memerlukan pembinaan bangunan berjuta ringgit. [/caption]

Lebih menyedihkan lagi bila saya lihat di negara-negara jiran seperti Indonesia dan Thailand, kempen-kempen keselamatan jalanraya wujud di mana-mana. Sepanduk dan papan iklan kempen keselamatan trafik dibuat sendiri oleh pasukan penguatkuasa di kawasan itu sendiri. Poster dan sepanduk tulisan tangan direntang di simpang empat besar, meminta orang ramai memperlahankan kenderaan.

Mungkin poster itu tidak cantik tetapi ia tetap berkesan dalam mengingatkan pengguna jalanraya akan faktor keselamatan yang cuba disampaikan.

Cara ini berkesan kerana dengan cara yang sama ini jugalah digunakan oleh pihak Thailand dalam memperkasakan penggunaan bahasa mereka. Sepanduk, cintai bahasa Thai ada di mana-mana dahulu dan hasilnya, orang Thai mengagungkan bahasa mereka sendiri.

Di sini, saya sendiri masih terkial-kial mencari apa perkataan Bahasa Malaysia untuk "understeer".

Penguatkuasaan perlu telus

Tahun lalu, kecoh Malaysia mengenai isu kamera perangkap had laju automatik atau AES (Automated Enforcement System) yang dimiliki oleh Kementerian Pengangkutan Malaysia.

Saya faham, sistem yang sama banyak digunakan di negara lain. AES sebenarnya sudah patut diperkenalkan dari dulu lagi.

Sebentar, mungkin saya silap.

Ya, sistem seperti AES pernah digunakan di lebuhraya Karak dalam tahun 1980-an. Ia menjadi satu isu sensasi kerana jutaan RM dibelanjakan untuk memasang tiang-tiang kamera di sepanjang lebuhraya itu tetapi dengarnya satu saman pun tidak pernah dikeluarkan sehingga projek itu dikira rugi dan kamera dibuang.

Berita yang dilaporkan ialah proses penghasilan imej perlu dilakukan di luar negara dan ia merugikan. Yang pasti, duit rakyat telah digunakan.

Apabila AES muncul, awal-awal lagi ia telah dipolitikkan tetapi bersebab - kerana syarikat-syarikat yang mengendalikannya dikatakan memang mempunyai hubung-kait politik. Isu tersebut telah selesai bila kerajaan mengambil semula konsesi projek AES dan meletakkannya di bawah JPJ. Bagus tetapi kenapa ia dipolitikkan sejak awal, saya sendiri kurang pasti.

Dan sehingga sekarang, saya masih sangsi.

Di negara maju, lokasi kamera itu ialah kawasan laluan merbahaya dan terbukti mempunyai jumlah kemalangan yang tinggi. Lokasi kamera, jenis kamera dan dokumentasi mengenai piawaian kamera dipamerkan secara telus kepada masyarakat. Di UK contohnya, ada laman web untuk kesemua data tersebut (lihat pautan ini sebagai contoh)

Di Malaysia, soalan saya mengenai jumlah kemalangan di setiap lokasi kamera AES sebelum kamera dipasang masih lagi tidak dijawab. Dan kerana itu, ramai yang bertanyakan kenapa kamera AES dipasang di kawasan yang tidak pernah ada kemalangan jiwa.

Soalan-soalan seperti itu perlu dijawab kerana denda melibatkan RM dan masyakarat akan hanya berfikir tentang satu perkara sahaja bila ada unsur RM - ia adalah satu taktik untuk memeras duit rakyat.

speed-camera

Saya pasti ia langsung tidak benar, tetapi pihak agensi terbabit perlu membantu pihak media untuk menafikan tuduhan tersebut dengan memberikan fakta-fakta yang perlu. Saya juga fikir lebih banyak kamera AES perlu dipasang di persimpangan lampu trafik terutama di Putrajaya kerana sebagai pusat pentadbiran negara yang penuh dengan bangunan modern, masyarakat setempatnya juga perlu mencerminkan diri sebagai rakyat yang bijak dan berdisiplin.

Sekarang ini, saya harus mengucapkan terima kasih kepada pihak MIROS (Institut Keselamatan Jalan Raya Malaysia) dan juga MAI (Malaysia Automotive Institute), dua agensi kerajaan yang bertungkus lumus bekerja untuk memastikan mutu dan piawaian keselamatan kenderaan yang dijual di dalam negara setanding dengan kenderaan di Eropah. Namun MIROS dan MAI sahaja tidak cukup untuk memastikan jalanraya kita semakin selamat.

Terpulang kepada pihak kerajaan samada mereka benar-benar serius dalam menangani masalah keselamatan jalanraya, atau hanya memberikan janji manis semasa berucap di majlis-majlis rasmi sahaja.

Wallahu a'lam.

Hezeri column 1

Add new comment

Careta Ad