Jerebu gusarkan penganjur Cubprix Johor

oleh Careta.my|
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02
Masalah jerebu yang melanda Malaysia dan Singapura ketika ini akibat kebakaran hutan di negara jiran, Indonesia tidak menjejaskan persiapan penganjuran Pusingan 7 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS yang akan berlangsung di Pasir Gudang, Johor, 3 dan 4 September ini namun pihak promoter, Safe Aim Mutual Sdn Bhd akan sentiasa memantau keadaan dan mematuhi sebarang arahan daripada pihak berkuasa berkaitan. "Selagi masalah jerebu berulang ini gagal diselesaikan, ia akan menjadi masalah besar kepada negara termasuklah bagi acara-acara sukan. Malah, ia menjadi satu masalah yang besar kepada penganjur yang menggabungkan acara sukan dan pelbagai aktiviti-aktiviti lain pada satu masa di lokasi sama berbanding penganjuran satu acara sukan sahaja. Tahun lepas, masalah jerebu agak terkawal dan kami tidak perlu membatalkan perlumbaan dan kami harap keadaan jerebu akan semakin baik dan perlumbaan pusingan ini akan berjalan lancar," jelas Ketua Operasi Cub Prix, Shafry Azizan. Pusingan 7 Kejuaraan Cub Prix merupakan lokasi baharu yang ketiga bagi seluruh kontinjen Cub Prix pada musim 2016 selepas Pasir Mas, Kelantan dan Kemaman, Terengganu. Lebih menarik, litar sementara sepanjang 924m ini dibina di perkarangan Stadium Perbandaran Pasir Gudang. "Indeks Kualiti Udara (IPU) yang sederhana tidak menghalang pasukan lojistik kami membuat persiapan di sana. Kami berharap keadaan cuaca akan bertambah baik dan IPU di Pasir Gudang akan kekal sihat untuk penganjuran perlumbaan Cub Prix. Walau bagaimanapun, jika keadaan bertambah buruk, kami akan mematuhi arahan daripada pihak berkuasa yang berkaitan. Sementara itu, kami menasihati semua pelumba dan pasukan serta pengunjung melakukan langkah-langkah sesuai untuk menjaga kesihatan ketika jerebu ini," jelas Shafry.