Proton bakal lancar Persona, Saga dan Ertiga tahun ini

oleh Careta.my|
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Proton semalam mengumumkan akan melancarkan tiga model terbaharu mereka dalam tahun ini. Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk Mohd Fuaad Kenali, beliau mengumumkan pelancaran model-model tersebut untuk menunjukkan komitmen syarikat terhadap pelan pembangunannya.

Model-model tersebut ialah:

  • Proton Persona - bakal dilancarkan dalam bulan Ogos
  • Proton Saga - dilancarkan dalam bulan September
  • Proton Ertiga - bulan Oktober

Pelancaran ketiga-tiga model itu yang bakal dilangsungkan dalam masa tiga bulan berturut-turut dilihat oleh para penganalisa industri sebagai satu tindakan berani kerana ia mungkin akan mengganggu jualan setiap model tersebut.

"Setiap model baharu yang dilancar perlu ada sela masa sebelum model satu lagi dilancarkan. Walaupun berlainan segmen, risiko yang tetap wujud ialah pengendalian di bahagian selepas jualan," ujar seorang penganalisa yang Careta temuramah.

Namun begitu, ada juga penganalisa yang bersetuju dengan rancangan Proton itu.

"Proton memang perlukan suntikan produk untuk mencapai jumlah jualan sasaran mereka sebanyak 150,000 unit. Pelancaran model Perdana sahaja tidak mencukupi kerana segmen itu kecil. Saga, Persona dan Ertiga ialah dalam jangkauan pembeli tradisional Proton dan ini memang akan membantu mereka untuk mencapai jumlah tersebut," terang seorang lagi penganalisa dari institusi kewangan.

Menurut Rohime Shafie, Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, sambutan kepada model Perdana 2016 menggalakkan. "Kami sudah menerima 1,100 tempahan untuk model Perdana. Setakat ini, 175 unit telah pun diterima oleh pelanggan," terang beliau. Proton mensasarkan jualan Perdana sebanyak 500 unit sebulan.

Gambar Proton Persona sudah dimula popular di laman media sosial sejak beberapa bulan ini dan menurut sumber Careta, Proton sudah mula membina stok untuk Proton Persona. Ini untuk memastikan stok mencukupi bila ia dilancarkan bulan hadapan.

Persona ialah versi sedan Proton Iriz, tetapi telah diberikan pembaharuan dari segi mutu pemasangan, prestasi dan NVH (Noise, Vibration and Harshness) yang lebih baik. Persona baharu dijangka mempunyai kabin yang lebih senyap dan kurang gegaran. Enjin yang bakal digunakan ialah enjin VVT 1.3L dan 1.6L dengan transmisi CVT automatik dan manual.

Proton Saga 2016 pula menggunakan platform Saga sekarang, tetapi dengan rekabentuk modern dan ruang dalaman yang lebih luas dan selesa. Enjin pula ialah enjin VVT 1.3L.

Ertiga pula ialah model MPV segmen-B yang diambil dari model Suzuki Ertiga. Model ini akan duduk di bawah Exora, bermakna julat harga Ertiga sepatutnya antara RM50,000 ke RM60,000. Ertiga bersaing rapat dengan Toyota Avanza di Indonesia namun di sini, Avanza datang dengan harga yang jauh lebih tinggi.