Pelumba negara kurang menyerlah di Suzuka

oleh Careta.my|
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02
Kontinjen pelumba Malaysia gagal meraih sebarang kedudukan podium dalam saingan pusingan ketiga Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) dengan pelumba harapan, Azlan Shah Kamaruzaman tidak dapat beraksi pada perlumbaan kedua SuperSports 600cc di Litar Suzuka, Jepun, hari ini. Pelumba BikeArt Racing Kawasaki itu terpaksa menarik diri dari Perlumbaan 2 setelah mengalami kecedaraan kaki akibat terlibat dalam insiden kemalangan selepas menamatkan Perlumbaan 1 semalam. Seorang lagi pelumba Malaysia, Md Zaqhwan Zaidi berjaya mempamerkan peningkatan apabila menamatkan perlumbaan di kedudukan kelima dengan masa 33’29.593s berbanding di kedudukan kesembilan pada Perlumbaan 1 sekalipun gagal mendapatkan jentera terbaik setelah terjatuh pada sesi latihan pemanas enjin pada sebelah pagi. “Perlumbaan minggu ini sangat sukar. Jentera saya tidak berada pada tahap terbaik selepas terjatuh dan sukar untuk saya memberikan cabaran kepada pelumba di hadapan. Meskipun agak kecewa dengan aksi di Suzuka, namun saya gembira kerana masih mampu mengutip mata berharga di sini,” jelas Zaqhwan yang kini menghuni tangga ketiga keseluruhan dengan 95 mata. Perlumbaan 2 menjadi milik rakan sepasukan Zaqhwan dari Musashi Boon Siew Honda Racing, Yuki Takahashi yang menamatkan perlumbaan dengan masa 33’24.813s selepas bersaing sengit bersama seorang lagi pelumba pilihan, Decha Kraisart (Yamaha Thailand Racing Team) dari awal perlumbaan sebelum juara Perlumbaan 1 itu terjatuh pada pusingan ke-13. Tempat kedua menjadi milik Tomoyoshi Koyama (T. Pro Yuzy Honda NTS With Wow) dengan masa 33’25.594s manakala tempat ketiga milik seorang lagi pelumba Jepun, Yuki Ito (Team Yamaha Racing) dengan masa 33’27.430s. Gelaran naib juara meletakkan Koyama di kedudukan teratas keseluruhan dengan 105 mata namun hanya satu mata mengatasi Takahashi di kedudukan kedua. SS600 - Yuki Takahashi AP250 - Yamamoto Dalam saingan Asia Production 250cc, Apiwat Wongthananon sekali lagi berjaya mengetepikan cabaran pelumba tuan rumah apabila memintas Takehiro Yamamoto pada pusingan terakhir untuk meraih gelaran berganda pada minggu ini. Pelumba Yamaha Thailand Racing Team itu menamatkan lapan pusingan perlumbaan dengan masa 20’07.079s manakala Yamamoto (Trickstar Racing) terpaksa berpuas hati di kedudukan kedua dengan masa 20’07.495s. Tempat ketiga milik rakan sepasukan Yamamoto, Ayumu Tanaka dengan masa 20’07.692s sementara kedudukan terbaik pelumba Malaysia milik Kasma Daniel Kasmayudin (Yamaha Finson Racing) yang menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-11 dengan masa 20’30.622s. Dua kemenangan di Jepun terus meletakkan Apiwat selesa di tangga teratas keseluruhan dengan 136 mata, 46 mata mendahului Yamamoto yang mengumpul 90 mata manakala rakan sepasukan Apiwat, Peerapong Loiboonpeng ketiga dengan 85 mata. Dalam saingan 2-Hour Asia Dream Endurance Race, tiada pelumba Malaysia beraksi setelah Hafiz Nor Azman mengalami kecederaan tangan setelah terjatuh pada sesi latihan bebas manakala Harith Farhan Baharin tidak beraksi di Suzuka akibat kecederaan bahu. Dalam saingan Cabaran Suzuki Asia, Mohd Rozaliman Zakaria terlepas peluang untuk menghadiahkan kemenangan kepada negara apabila menamatkan Perlumbaan 2 di kedudukan keempat manakala gagal menamatkan perlumbaan pertama setelah terjatuh pada pertengahan perlumbaan. Keputusan Perlumbaan 2 SuperSports 600cc
  1. Yuki Takahashi (JPN) Honda 33’24.813s 2. Tomoyoshi Koyama (JPN) Honda 33’25.594s 3. Yuki Ito (JPN) Yamaha 33’27.430s 4. Ahmad Yudhistira (INA) 33’29.249s 5. Md Zaqhwan Zaidi (MAS) Honda 33’29.593s
Kedudukan keseluruhan:
  1. Tomoyoshi Koyama (JPN) Honda 105 mata 2. Yuki Takahashi (JPN) Honda 104 mata 3. Md Zaqhwan Zaidi (MAS) Honda 95 mata 4. Azlan Shah Kamaruzaman (MAS) Kawasaki 89 mata 5. Dimas Ekky Pratama (INA) Honda 63 mata
Asia Production 250cc
  1. Apiwat Wongthananon (THA) Yamaha 20’07.079s 2. Takehiro Yamamoto (JPN) Kawasaki 20’07.495s 3. Ayumu Tanaka (JPN) Kawasaki 20’07.692s 4. Imanuel Putra Pratna (INA) 20’20.929s 5. Anupab Sarmoon (THA) Yamaha 20’21.135s
Kedudukan keseluruhan:
  1. Apiwat Wongthananon (THA) Yamaha 136 mata 2. Takehiro Yamamoto (JPN) Kawasaki 90 mata 3. Peerapong Loiboonpeng (THA) Yamaha 85 mata 4. Anupab Sarmoon (THA) Yamaha 276 mata 5. Galang Hendra Pratama (INA) Yamaha 61 mata