Jeling jeling pandang pandang...

oleh Careta.my|
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024
Sering kita disuruh melihat ke hadapan apabila menunggang, lihat ke mana arah yang ingin kita lalui, memerhati pergerakan kenderaan di depan dan juga menjangkakan apa yang mungkin melintas terutama sekali di kawasan bandar, perumahan dan sekolah. Namun jarang yang mengingatkan kita untuk sentiasa memeriksa cermin sisi anda setiap lima saat atau lebih. Sebagaimana pentingnya untuk kita melihat dan mengimbas keadaan jalanraya di hadapan kita, sebegitu pentinglah juga kita perlu menjeling atau mengerling cermin sisi untuk mengetahui apa yang sedang berlaku di belakang. Tonton sekali lagi video di atas, dan saksikan bagaimana penunggang ini sempat mengelak dari dilibas sebuah trak yang terbabas di belakangnya. Tumpuan penglihatan dan pemerhatian memang amat penting sekali sewaktu menunggang motosikal. Tetapi malangnya ramai yang hanya memberi tumpuan ke hadapan. Bagaimana pula dengan apa yang sedang berlaku di belakang anda? Jika ada kereta yang menyucuk anda dengan rapat, lebih baik biar saja ia memotong, kerana mungkin pemandu kereta itu kurang berpengalaman (walaupun kereta mahal) dan tak menyedari bahawa motosikal anda jauh lebih ringan. Jika anda hanya sekadar menutup minyak pun (tak membrek pun), belum tentu lagi dia sempat membrek untuk mengelak dari melanggar anda, kerana kenderaan yang lebih ringan akan lebih cepat diperlahankan. Jadi kepada pemandu yang suka mencucuk motor, bertimbangrasa lah, anda bukan menunjukkan anda cekap sebenarnya tapi hanya menunjukkan kekurangan pengalaman anda.... Kita juga sering mendapati bahawa ramai penunggang motosikal yang menanggalkan cermin sisi motosikal mereka. Adakah mungkin kerana ingin kelihatan seperti jentera lumba yang tiada bercermin sisi? Mungkin mereka lupa bahawa keadaan menunggang di litar lumba adalah berlainan, dan anda tidak perlu mengetahui apa yang sedang mengancam nyawa anda di belakang kerana disiplin penunggangan akan menjamin keselamatan semua. Namun ada juga pelumba yang begitu teringin untuk melihat siapa yang mengekor di belakang. Malangnya ada yang menoleh ke kekiri, tanpa menyedari pencabarnya memotong di kanan.... Jangan perjudikan nyawa anda. Dengan adanya cermin sisi sekalipun, ada baiknya jika menoleh sedikit sebelum mengubah arah. Jeling jeling, pandang pandang. Hargai nyawa anda.