Zontes mahu bina model 1,000cc 3-silinder

oleh HEZERI SAMSURI|
China memang pemain baharu dalam industri motosikal.

Antara puncanya ialah negara komunis itu menyekat kemasukan motosikal-motosikal luar dan juga menyekat penggunaan motosikal besar.

Namun begitu, setelah negara itu mula membuka mindanya, peluang menghasilkan jenama motosikal global semakin menyerlah dan Zontes ialah antara produk yang semakin dikenali di Eropah.

Kualiti yang baik dan prestasi yang boleh dikatakan berbaloi dengan harga jualan adalah antara puncanya.

Namun begitu, Zontes cuma mempunyai beberapa pilihan produk dan yang paling terkenal ialah siri 310cc, yang juga dijual di Malaysia.

Nampaknya Zontes mahu menandingi CFMoto, satu lagi jenama China yang turut popular di Eropah. 

Zontes dikatakan akan terus memberikan fokus kepada enjin 3-silinder dan sumber-sumber industri berkata ia akan mula menghasilkan produk 3-silinder dengan enjin 600cc sebelum masuk ke dunia 1,000cc, juga dengan 3-silinder.

Ada yang mengatakan produk-produk baharu Zontes akan menjadi pesaing kepada Triumph Trident 660 dan Triumph Speed Triple RS - semuanya dengan nadi 3-silinder.

Untuk Zontes menyaingi produk-produk Triumph, mungkin akan mengambil masa tetapi produk Zontes akan memberi pilihan mampu-milik bagi pasaran.

Siapa tahu, negara yang tidak pernah terkenal dengan motosikal itu boleh menghasilkan produk-produk yang boleh duduk setanding dengan jenama besar?