Zeekr Malaysia Himpunkan Hampir 500 Pemilik EV Dalam Acara ‘Zeekr Dynamic’ Di SIC

oleh Qalif Latif|
Zeekr Intelligent Technology Malaysia (Zeekr Malaysia) baru-baru ini menganjurkan acara pertama Zeekr Dynamic di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), menghimpunkan hampir 500 pemilik Zeekr bersama keluarga mereka dari Malaysia, Singapura dan Vietnam. Acara itu menjadi platform untuk pemilik merasai sendiri keupayaan kenderaan elektrik premium Zeekr dalam persekitaran litar yang selamat dan terkawal.

Zeekr Dynamic merupakan program pengalaman pemanduan rasmi jenama itu yang memberi tumpuan kepada prestasi, keseronokan pemanduan dan teknologi canggih, sambil mengukuhkan hubungan dalam komuniti pemilik Zeekr di rantau ini.

Acara sehari penuh tersebut menampilkan model Zeekr 7X dan Zeekr X, dengan peserta berpeluang meneroka prestasi, sistem keselamatan dan dinamik pemanduan kedua-dua model itu menerusi pelbagai sesi pemanduan khas di litar.

Zeekr Dynamic

Zeekr Dynamic
Menurut Pengurus Besar Zeekr Intelligent Technology Malaysia, Eddy Lu, Malaysia dipilih sebagai lokasi pertama Zeekr Dynamic di Asia Tenggara kerana merupakan antara pasaran paling penting bagi Zeekr di rantau ini. Beliau berkata acara itu diwujudkan khusus untuk membolehkan pelanggan merasai sendiri prestasi, ketepatan kawalan dan karakter pemanduan yang menjadi identiti Zeekr.

Pelbagai Ujian Prestasi Dan Keselamatan

Antara aktiviti utama yang dijalankan sepanjang acara ialah Obstacle Avoidance yang menunjukkan keberkesanan sistem kawalan kestabilan elektronik (ESP/ESC) ketika mengelak halangan secara mengejut.

Zeekr Dynamic

Peserta turut menjalani Slalom Course untuk menguji ketepatan stereng, kelincahan dan keseimbangan casis ketika mengharungi laluan kon. Selain itu, sesi Emergency Braking memberi peluang kepada peserta merasai sendiri prestasi membrek serta tindak balas sistem ABS ketika membrek secara kecemasan.

Turut disediakan ialah Lane Change Manoeuvre yang memperlihatkan fungsi sistem bantuan pemandu termaju (ADAS) seperti Lane Keeping Assist dan Lane Departure Warning. Peserta juga menyertai Track Convoy yang membolehkan mereka merasai pecutan dan prestasi membrek pada kelajuan lebih tinggi dalam keadaan terkawal.

Menurut Zeekr, semua aktiviti ini direka bagi membantu pemilik memahami bagaimana teknologi keselamatan dan prestasi yang terdapat pada kenderaan mereka berfungsi dalam situasi pemanduan sebenar.

Zeekr Dynamic

 

Festival Mesra Keluarga

Selain aktiviti di litar, Zeekr Dynamic turut dianjurkan sebagai festival gaya hidup yang mesra keluarga.

Antara tarikan yang disediakan termasuk cabaran Zeekr Track Challenge Passport yang membolehkan peserta mengumpul cop dan menebus hadiah, zon permainan interaktif, simulator perlumbaan Litar Sepang, kawasan khas untuk keluarga dan kanak-kanak serta deretan trak makanan.

Pendekatan ini mencerminkan usaha Zeekr untuk menawarkan pengalaman pemilikan yang lebih menarik dan menyeluruh kepada pelanggan, bukan sekadar menjual kenderaan elektrik premium.

Zeekr Dynamic

Mengukuhkan Komuniti Pemilik Zeekr

Zeekr Malaysia berkata acara tersebut membuktikan pertumbuhan komuniti pemilik Zeekr yang semakin kukuh di rantau ini, selain mengukuhkan hubungan antara pemilik dari pelbagai negara.

Melalui inisiatif seperti Zeekr Dynamic, syarikat itu mahu mengukuhkan ekosistem pemilik Zeekr dengan menggabungkan elemen prestasi, teknologi, gaya hidup dan komuniti dalam satu pengalaman yang unik.

Sehingga kini, Zeekr telah menyerahkan lebih 720,000 kenderaan di seluruh dunia sejak memulakan penghantaran model pertamanya pada Oktober 2021. Di Malaysia, jenama itu mula memasuki pasaran pada Disember 2024 sebelum menubuhkan syarikat jualan nasionalnya, Zeekr Intelligent Technology (Malaysia) Sdn Bhd.

Zeekr Dynamic