Sekali imbas, rekaan Zeekr 009 ini mengingatkan kita kepada model Kia Carnival baharu, namun dengan elemen seakan sebuah Rolls-Royce pada bahagian hadapan dan tidak ketinggalan kehadiran 154 unit lampu LED!
Dibangun menggunakan platform SEA (Sustainable Experience Architecture) Geely, Zeekr 009 membawakan ukuran sepanjang 5,209 mm, lebar 2,024 mm, tinggi 1,856 mm dengan jarak antara roda sepanjang 3,205 mm.
Sebagai perbandingan, Kia Carnival memiliki dimensi sepanjang 5,155 mm, lebar 1,995 mm, tinggi 1,740 mm dengan jarak antara roda yang sedikit pendek, 3,090 mm.
Antara ciri menarik yang boleh dilihat termasuklah bumbung bulan kecil, bumbung kaca panorama di bahagian tempat duduk belakang, spoiler kecil belakang, unit lampu LED belakang melintang penuh, komponen jeriji hadapan yang agak besar, serta rekaan lampu utama berlapis dengan lampu nyalaan siang LED menegak.
Ruang kabin pula menempatkan tempat duduk balutan upholsteri kulit premium dengan rekaan geometri, sistem infotainmen jenis terapung dan juga konfigurasi tiga baris tempat duduk.
Tiada sebarang maklumat berkenaan trenkuasa elektrik yang digunakan, melainkan jarak operasi sejauh 700 km yang boleh dicapai menggunakan data NEDC.
Lebih banyak info bakal diketahui menjelang pelancaran rasmi Zeekr 009 di acara Chengdu Motor Show pada 26 Ogos ini.