Ini adalah kerana Z900 telah membuktikan kegemilangan Kawasaki dalam menghasilkan motosikal yang berkuasa tinggi, mudah dikendali dan paling penting, lasak. Ia juga menunjukan daya saing serta kekuatan R&D Kawasaki yang sentiasa mendengar komen dan kritikan pengguna.
Di bawah ialah 6 fakta mengenai Z900 yang anda perlu ketahui.
Enjin serba baharu 4-silinder 948cc sejukan cecair itu diasaskan dari Z1000. Untuk memastikan enjin ini lancar dan kurang gegaran, ia dipasang dengan pengimbang kedua pada aci engkol. Dan enjin ini menghasilkan 125 PS dan 98.6 Nm, 12 PS lebih berbanding dengan Z800 yang menghasilkan 113PS dan 83 Nm.
Transmisi Z900 direka khusus untuk tugasnya sebagai sebuah jentera streetfighter - 5 nisbah kelajuan pertama adalah pendek (short ratio) dan disusun rapat, memberikan pecutan yang tegar walau dari gear 5 sekali pun. Bagi memberikan lebih keyakinan dan memudahkan operasi tanpa takut termasuk ke nisbah gear terlalu rendah, Kawasaki memberikan Z900 ini klac slipper. Untuk memudahkan penunggangan dalam bandar, sistem bantuan klac menjadikan klac lebih ringan tetapi masih telus dalam operasinya. Dalam gear 6, halaju maksimum melebihi 240 kmsj mampu dicapai (bergantung pada penunggang).
Kerangka Z900 memang serba baharu dan Kawasaki memanggilnya kerangka tiub Trellis, walaupun ia tidak nampak sepertinya. Tak apa kerana yang penting, kerangka seberat 13.5 kg ini ialah 1.5 kg lebih ringan dari kerangka pada model Z650! Dan enjin Z900 ini sebenarnya adalah sebahagian dari kerangka kerana ia mempunyai lima pendakap terus (rigid mounting) kepada blok enjin.
Kerana enjin dan kerangka baharu, Z900 ini ialah lebih kurang 21 kg lebih ringan dari Z800. Dengan enjin yang lebih berkuasa, sememangnya prestasi Z900 ini umpama kumpulan Search dan kumpulan 4U2C jika dibandingkan dengan Z800 lama. Dan walaupun Z900 tiga petala langit lebih hebat, tinggi pelana Z900 pada 795 mm sebenarnya 39 mm lebih rendah berbanding dengan Z800 (834 mm) - membolehkan lebih ramai penunggang mampu menikmatinya.