Z650 ABS - jangan pandang remeh

oleh HEZERI SAMSURI|
Semua peminat dan jenama motosikal berkuasa besar di Malaysia perlu mengucapkan terima kasih kepada Kawasaki Malaysia.

Mahu atau tidak, anda semua terhutang budi kepada Kawasaki yang sudah dua kali membuka kembali pasaran motosikal besar tempatan.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Bertatih dengan motosikal fairing penuh pertama mampu milik dalam kategori 150 cc - KIPS, kemudian dengan ZZR 250 dan Eliminator 250 dan seterusnya Vulcan 500, kegilaan superbike terus meningkat dalam zaman 1990-an itu atas usaha Kawasaki Malaysia.

Pasaran motosikal besar malap dalam awal tahun 2000 kerana ekonomi dan juga kesukaran mendapat pinjaman.

Namun begitu, Kawasaki sekali lagi membuka ruang dalam tahun 2006 dengan memperkenalkan motosikal model ER-6N, dengan harga mampu milik kerana status Asean CKD yang diterima, membolehkan ia menerima pengurangan cukai atas sebab perjanjian perdangan AFTA.

Bermula dari ER-6N, peminat motosikal negara mampu membeli sebuah motosikal berenjin 650 cc. Kemudian muncul Versys 650 CKD dan seterusnya disambut oleh model-model lain dari jenama lain, menjadikan Malaysia penuh dengan motosikal-motosikal besar berbanding dengan negara-negara jiran kita.

Namun begitu, awal tahun ini, Kawasaki menggantikan model ER-6N yang “legend” itu dengan model Z650.

Lebih seminggu bersama Z650 untuk kami kenali hati-budinya, dan juga untuk melihat pembaikan yang dilakukan berbanding dengan ER-6N yang memang kami sudah serasi.

Kerangka serba baharu membantu Z650 ini 17 kg lebih ringan dari ER-6N, dan jika anda lihat, sistem gantungan belakang sekarang ialah dengan monoshock tengah boleh laras: tidak di tepi seperti ER-6N.

Kerangka tubular Trellis ini juga lebih seksi, dan konsep naked Sugomi yang dimulakan dengan model Z1000 dahulu yang kemudian diturunkan kepada Z ini pula sengaja membogelkan sedikit badannya agar nampak menggiurkan.

Wayar dan kabel diikat dan disorok dengan kemas oleh Kawasaki, dan ini antara punca kenapa Z650 nampak segak. Memang, jika dibandingkan dengan ER-6N, Z650 ini jauh lebih cantik. 

Ibarat artis wanita muda bergetah dengan baju singkat.

Selain dari itu, fork teleskopik 41 mm di hadapan tidak boeh dilaraskan - sayang tidak datang dalam warna keemasan kerana itu mesti lebih seksi.

Brek Z650 pula memang akan menjadi tumpuan kerana cakera-petal berkembar hadapan dengan saiz 300 mm digabungkan dengan kaliper semi-floating dua piston memang nampak cukup mantap.

Di belakang, cakera-petal bersaiz 220 mm dengan kaliper berpiston tunggal memastikan ekor stabil semasa brek kecemasan.

Saiz tayar pula ialah 120/70 ZR17 di hadapan dan 160/60 ZR 17 di belakang.

Paparan meter pula ialah LCD dengan tulisan analog untuk takometer. Sekali imbas, kita sudah tahu berapa kelajuan, posisi gear dan juga kelajuan enjin. 

Tolok suhu dan tangki ada terselit di kiri kanan bahagian bawah skrin LCD itu.

Tunggangan Z650 memang mudah dan cepat mesra. Kerana ia ringan dan enjin sejukan cecair kembar selari 649 cc itu menghasilkan 68 PS dan 65.7 Nm dengan cara yang sangat sopan dan akur pada pendikit.

Suntikan bahan api kembar yang digunakan berjaya untuk memastikan enjin tidak tergagap bila dibawa perlahan di tengah bandar, dan bila perlu, pulas pendikit dan komputer memastikan bahan api masuk dengan lancar tanpa tergagap-gagap.

Transmisi 6-kelajuan itu pula telus dan tidak ada false neutral. Ternyata Kawasaki telah memastikan transmisi lebih mudah untuk menukar gear, cuma klac dirasakan sedikit lembut dan sukar untuk membuat pecutan deras dari pegun bagi menaikan roda hadapan.

Bagi penunggang baharu, hantaran tenaga, agihan berat (187 kg tetapi tidak terasa kerana beratnya fokus di bahagian bawah) serta sistem gantungan Z650 ini memberikan keyakinan untuk menunggang.

Careta pasti memang Z650 ialah motosikal paling sesuai untuk mereka yang mahu meningkatkan jentera dari enjin kecil ke besar.

Memang ada motosikal 500 cc di luar sana tetapi dengan beza harga yang tidak begitu banyak, dilengkapi dengan ABS dan slipper clutch pula, Z650 ini adalah satu pilihan yang sangat wajar dan tidak keterlaluan jika Careta katakan, bodoh untuk tidak menimbangkan Kawasaki ini.

Bagi penunggang veteran, Z650 ini ialah sebuah motosikal yang sesuai untuk bersantai, tetapi masih boleh menggigit di selekoh kerana badannya yang ringan dan mudah dibaling ke kanan dan ke kiri.

Brek juga baik dan mudah dikawal mengikut kemahuan kita. Dan jika hujan, ABS menambahkan lagi keyakinan.

Dengan harga lebih kurang RM35,600 termasuk GST, Z650 ialah satu pilihan bijak untuk mereka yang baru berjinak-jinak dengan motosikal besar, atau untuk mereka yang perlukan sebuah jentera dua roda untuk perjalanan santai atau berulang-alik dari sebuah bandar ke bandar yang lain.

Praktikaliti tidak pernah se-seksi ini. 

burn out

 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Acara itu disempurnakan oleh Pengarah Kawasaki Johor Bahru, Qbee Ng bersama Ketua Pegawai Eksekutif…
Pelancaran Motosikal
Sejak Modenas ZX-25R SE diperkenalkan di Malaysia pada September 2023 lalu, model ini terus…
Berita Domestik
Kempen panggil balik tersebut melibatkan penambahbaikan bahagian bawah kerangka seperti yang…