Yuran dan kos 'E-testing' akan dikawal

oleh Shahrim Tamrin|
Yuran pembelajaran dan kos untuk mengambil lesen memandu menerusi kaedah elektronik atau ‘e-testing’ tidak akan melonjak naik dan akan berada di lingkungan harga berpatutan.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Menteri Pengangkutan Anthony Loke menyatakan kepada Careta.my bahawa Kementerian akan mengawal selia yuran agar ia berpatutan dan tidak membebankan para pelajar dan Institut Memandu.

 

“Kita tidak mahu bebankan sekolah memandu mahu pun mereka yang nak ambil lesen (memandu). Kerajaan hanya mahukan ketelusan untuk atasi masalah lesen ‘Kopi O’ dan penipuan dan menghasilkan pemandu yang kompeten,” kata Loke setelah mencuba sistem ujian elektronik ini di sebuah Institut Memandu yang terletak di Taman Perling, Johor Bahru.

 

 

Sambil menyatakan bahawa 'e-testing' mampu menamatkan yuran tinggi yang mencecah sehingga RM1,800 dan RM2,500 oleh sesetengah sekolah memandu di bawah penjenamaan ‘Gerenti sampai lulus’, Loke yakin 'e-testing' akan menggalakkan keseimbangan harga pakej untuk pelajar.

 

Adalah satu kebiasaan kini bahawa harga siling di sekolah memandu adalah RM1,150 untuk kenderaan manual dan RM1,250 untuk kenderaan automatik.

 

 

 

“Memang akan berlaku pertambahan sedikit harga siling tetapi ia lebih murah jika dibandingkan dengan harga pakej seperti ini,” katanya.

 

Dengan menjelaskan bahawa kos penyediaan sistem adalah berbeza untuk setiap Institut atau Sekolah Memandu, Loke berkata fasa pertama akan dimulakan dengan litar berskala kecil. 

 

“Selepas itu untuk fasa kedua, kita pergi kepada keluasan sederhana dan fasa ketiga saiz litar lagi besar,” tambahnya. "Kita juga akan memperluaskan kepada ujian untuk lesen kenderaan komersil dan lain-lain."

 

 

"Sistem 'e-testing' ini juga tidak akan dimonopoli oleh satu pihak sahaja. Jika ada sesiapa yang boleh bangunkan sistem seumpama, kita akan buka peluang kepada yang penyedia perkhidmatan lain," katanya.

 

Loke bersungguh menyatakan bahawa 'e-testing' adalah perlu kerana sistem penilaian itu adalah telus dan tidak melibatkan penglibatan manusia.

 

“Macam awak tengok tadi, saya pandu kereta itu dan saya pun tak lepas naik bukit. Saya sendiri seorang Menteri pun sistem itu kata saya gagal,” katanya berseloroh. 

 

 

“Jadi 'e-testing' ini jelas telus. Kita melihat perkara ini sebagai satu perkara yang baik bukan sahaja untuk JPJ malah kepada institut memandu dan pelajar kerana pelajar-pelajar akan mendapat maklumat secara atas talian punca kegagalan mereka kerana mereka dinilai menggunakan sistem dan bukan lagi manusia” kata Menteri Pengangkutan.

 

Loke juga mengesahkan bahawa 'e-testing' akan diperluaskan secara berperingkat ke seluruh negara bermula tahun hadapan.

 

“Kita akan mulakan dahulu di tiga sekolah memandu di Johor ini sebagai antara projek ‘pilot’ (perintis) bermula hujung Ogos hingga November,” katanya lagi.

 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Zailani Hashim, berkata sistem e-Testing ini bertujuan meningkat…