YPNM - Garisan putih jalan raya dalam negara tiada kualiti

oleh Penyumbang Rencana|
gambar hiasan
Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) mendapati garisan putih jalan raya di negara ini tiada kualiti dan tidak mengikuti piawaian apabila ia pudar dan tidak memantulkan cahaya.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024

Pantulan cahaya begitu pen­ting supaya pemandu kende­raan dapat melihat jalan raya dan garisan putih terutama pada waktu malam lebih-lebih lagi ketika hujan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden YPNM, Datuk Mohd. Firdaus Abdullah berkata, isu garisan putih tidak mengikut piawaian banyak berlaku di jalan-jalan persekutuan dan jalan ne­geri di seluruh negara.

Menurut beliau, walaupun ada pihak menganggap ia remeh, namun kualiti garisan putih turut menjadi penyumbang kepada kemalangan dan ia perlu diatasi segera oleh pihak berwajib.

“Isu ini mungkin berlaku kerana kualiti bahan yang digunakan untuk garisan putih di jalan raya tidak berkualiti.

“Mungkin juga berlaku penyelewengan kegunaan dalam penggunaan bahan itu. Mohon pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) memeriksa dengan lebih rapi demi keselamatan pengguna jalan raya,” katanya di Kuantan pada Isnin.

Pada Oktober tahun lalu, Malaysia tersenarai pada ranking ke-12 paling bawah daripada 59 negara dengan kualiti jalan raya yang terburuk.

Data tersebut dikeluarkan oleh firma pendidikan pemandu, Zutobi berdasarkan kajian bertajuk ‘Worst and Best Roads-US and International Ranking’.

Menurut kajian itu, kualiti jalan raya di Malaysia jatuh lebih lima peratus dalam tempoh lima tahun lalu, dengan merekodkan jumlah kematian di jalan raya kedua tertinggi sebanyak 22.76 bagi setiap 100,000 penduduk.

Lebih 22 kematian jalan raya bagi setiap 100,000 orang telah berlaku di lebuh raya di Malaysia, sekali gus menjadi jumlah kematian kedua tertinggi di dunia selepas Arab Saudi.

Data sama turut menunjukkan Kuwait tersenarai sebagai negara yang memiliki jalan raya terburuk dunia, diikuti Costa Rica, Georgia, Panama dan New Zealand.

 

gambar hiasan

 

LEBIH MUATAN

Firdaus dalam pada itu berkata, YPNM mendesak Jabatan Pe­ngangkutan Jalan (JPJ) mengawal selia dan mengambil tindakan terhadap lori-lori treler yang mem­bawa muatan lebih muatan.

Situasi itu, katanya, akan menjurus kepada kerosakan jalan raya, apabila lori muatan yang dibenarkan 40,000 kilogram (kg) tetapi membawa muatan melebihi 70,000 kg yang membuatkan jalan raya mendap, bergelombang dan rosak teruk.

“Untuk itu, pihak JPJ perlu mengambil tindakan dengan kadar segera. YPNM juga difahamkan bahawa ada pengusaha-peng­usaha lori berat menggunakan khidmat ‘broker’ untuk mengelak daripada diambil tindakan oleh pihak berkuasa.

“YPNM juga kesal apabila banyak bahu-bahu jalan raya tidak diselenggara dengan baik, ini juga turut memberi banyak kesusahan kepada pengguna jalan raya apabila hendak berhenti di bahu jalan.

“Kecuaian pengurusan dan penyelenggaraan jalan raya memberi banyak kesan kepada pengguna yang menjurus kepada kehilangan harta benda dan nyawa. Mohon pihak bertanggungjawab turun padang bagi menyelesaikan masalah-masalah yang telah menghantui pengguna jalan raya sekian lama,” katanya.

 

MENGAKTIFKAN

Beliau berkata, YPNM juga mengesa kerajaan mengaktifkan semula Majlis Keselamatan Jalan Raya di setiap negeri di seluruh negara.

Jelasnya, menerusi majlis itu, semua pihak-pihak berkaitan bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) boleh berme­syuarat, bertukar-tukar pendapat dalam memberi idea-idea untuk mengatasi isu-isu berkaitan ke­selamatan jalan raya.

Sementara itu, penduduk perumahan Kampung Peramu, Mohd. Zaidi Ghani, 52, berkata, isu garisan putih tidak kelihatan di jalan raya di situ bukan perkara baharu sebaliknya sudah lama.

“Ia seolah-olah diambil mudah oleh pihak berkenaan, garisan putih hanya ada ketika jalan ini mula dibuat sahaja. Selepas itu, ia makin lama makin pudar dan tiada usaha untuk mengecat garisan baru.

“Selain isu garisan jalan, lampu jalan juga tidak menyala terutama di pusingan U berdepan perumahan Kampung Peramu ini. Kemalangan juga kerap berlaku di pusingan U,” katanya.