Yoshimura lancar ekzos perlumbaan untuk Kawasaki ZX-25R

oleh Mohamad Hanif|
Sehingga kini, Kawasaki ZX-25R masih lagi merupakan sebuah motosikal bersesaran 250 cc di mana ia satu-satunya model yang ditawarkan dalam konfigurasi enjin empat silinder sebaris di dalam kelasnya.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Selain daripada itu, ia masih lagi merupakan model yang tidak ditawarkan untuk pasaran Malaysia walaupun sudah pun hampir setahun dilancarkan di pasaran negara jiran.

Bagi menambahkan lagi rasa pedih di hati, Yoshimura Jepun baru-baru ini melancarkan sistem ekzos perlumbaan yang dinamakan sebagai Hepta Force TSS Racing Cyclone khusus untuk ZX-25R.

 


Secara ringkasnya, ia sebuah sistem ekzos perlumbaan penuh yang datang dengan unit peredam pendek, di mana sistem perpaipan boleh dipilih menggunakan bahan keluli atau titanium, sementara pelindung peredam pula datang dengan kemasan satin finish/titanium blue untuk versi keluli atau plain titanium/titanium blue untuk paip titanium.

Dengan sistem ekzos Hepta Force ini, anda boleh menjimatkan berat sehingga sehingga separuh berbanding sistem ekzos asal, ini kerana menurut Yoshimura berat keseluruhan sistem ekzos titanium adalah sekitar 3.7 kg sahaja.

Berat untuk sistem ekzos versi keluli tahan karat pula bergantung kepada kemasan yang dipilih, di mana kemasan satin finish adalah sekitar 5.1 kg manakala kemasan titanium blue pula lebih ringan, sekitar 4.9 kg sahaja.



Menurut data, sistem ekzos Yoshimura Hepta Force ini menunjukkan peningkatan prestasi berbanding sistem ekzos biasa, selain menghasilkan bunyi yang agak mengasyikkan dengan kadar kebisingan sekitar 113 dB pada putaran enjin 11,500 rpm.

Sumber: Young Machine