Yomper 4x4, SUV yang dibina dari Suzuki Jimny!

oleh Muhammad Md Tajudin|
Yomper 4x4
Yomper 4x4
Di dalam persekitaran perniagaan hari ini susah atau senang untuk memulakan jenama kenderaan baharu? Bergantung kepada skala dan objektif yang dimahukan.

Di West Yorkshire, United Kingdom ada sebuah syarikat permulaan (start-up) yang mengeluarkan SUV daripada model lama Suzuki Jimny.

Syarikat yang dikenali sebagai Yomper 4x4 itu adalah subsidiari kepada Samson Engineering Ltd, pakar dalam pembangunan dan pengeluaran treler komersial dan peralatan pembinaan tempahan khas.

SUV yang dikeluarkan disasarkan kepada pelanggan dari sektor perdagangan, pertanian, sukan dan hiburan.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Yomper Bergan

 

SUV Yomper ditawarkan dalam dua varian iaitu Bergan dengan bentuk ala unibody. Sebuah lagi adalah varian Commercial dengan bentuk kargo di belakang.

Walaupun menggunakan badan Jimny, SUV ini mempunyai casis khas dengan jarak roda yang panjang untuk kegunaan lasak dan rekreasi.

Daya muatannya juga boleh tahan iaitu 500 kg.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Yomper 4x4, Giles Walker, SUV ini dibina selepas ramai penduduk di dalam komunitinya mendakwa tiada SUV utiliti kecil yang bersesuaian di pasaran.

Susulan itu beliau menghasilkan sebuah casis dan badan baharu dari aloi dan mengubahsuai badan Jimny kepada chassis cab dengan dinding belakang (bulkhead) yang diperkukuhkan.

 

Yomper Commercial

 

Kerja-kerja begini bukan mudah, tanpa pengetahuan dan pengalaman yang kukuh silap-silap boleh patah dua!

Selepas siap SUV tersebut beliau mulakan pula satu lagi projek SUV dengan inspirasi dari pikap Subaru MV (atau seperti Proton Arena).

Menggerakan Yomper ialah enjin standard 1.3 liter Jimny dan untuk pembeli ianya siap dibaik pulih (overhaul) dan dibina semula dengan banyak komponen baharu dan naik taraf.

Dari gambar yang dikongsikan, kedua-dua SUV (atau pikap) ini nampak kemas dan sempurna ibarat dikeluarkan secara rasmi dari kilang.

 

Yomper 4x4

 

Bagaimana pula dengan harga? Pengubahsuaian begini bergantung kepada spesifikasi yang dimahukan dan boleh dimiliki pada harga di bawah £20,000 (RM112,857).

SUV kecil dan lasak seperti ini bukan sahaja diperlukan di UK tetapi juga di negara kita di mana individu persendirian boleh memilikinya dengan mudah. (Sekali lagi, teringat pada Proton Juara!)

Penulis: Muhammad Md Tajudin

 

Yomper Bergan