Cuma kali ini, soalan beliau yang ditujukan kepada golongan pemuda berkaitan memperkenalkan perkhidmatan ojek saya kira menunjukan beliau masih belum memahami masalah pengangkutan negara.
Malah beliau sudahpun membawa pemilik GoJek dari Indonesia untuk berjumpa dengan Perdana Menteri kita, dengan harapan idea ini boleh diperkenalkan di Malaysia.
Mungkin beliau diberikan fakta-fakta yang tidak berapa tepat oleh penasihat-penasihatnya.
Malaysia berada di tangga ketiga di Asean dalam carta kemalangan jalanraya yang mengakibatkan maut dan pengguna motosikal ialah yang paling banyak menjadi mangsa. Lebih dari 60 peratus yang maut di jalanraya ialah pengguna motosikal.
Ini fakta.
Cadangan beliau untuk meningkatkan lagi penggunaan motosikal pastinya akan menambahkan lagi risiko kehilangan nyawa di jalanraya Malaysia.
Saya rasa, niat beliau baik cuma seperti biasa, orang muda sering gopoh. Baru sentuh jari, terus ucap I love you.
Ojek mungkin berkesan di Indonesia, Thailand dan Vietnam kerana cara penggunaan jalanraya mereka berbeza.
Di sana, motosikal ialah juara. Rakyat Indonesia membeli hampir 6 juta unit motosikal setiap tahun, dan pengguna kenderaan 4-roda memberikan ruang untuk motosikal berkeliaran di jalanraya mereka.
Halaju malar untuk jalanraya mereka juga sangat rendah kerana keadaan trafik yang sangat sesak. Lebuhraya di Indonesia dan Thailand juga mengharamkan penggunaan motosikal.
Ini berbeza dari Malaysia di mana kelajuan malar kenderaan kita jauh lebih tinggi kerana kualiti jalanraya yang lebih baik dan juga kerana wujudnya banyak lebuhraya intra-kota.
Dan Malaysia membenarkan motosikal berada di atas lebuhraya.
Situasi trafik di Malaysia membolehkan motosikal dan kenderaan lain bergerak dengan kelajuan tinggi - dan ini adalah satu punca kemalangan maut.
Adakah YB Saddiq sanggup membonceng motosikal yang ditunggang pada kelajuan tinggi?
Satu lagi masalah ialah budaya.
Adakah satu perkara normal untuk seorang wanita membonceng ojek yang ditunggang oleh seorang lelaki yang langsung tidak dikenali mereka?
Adakah YB mahu isteri YB membonceng motosikal dengan lelaki lain?
Bagaimana pula reaksi Jabatan Agama pula bila seorang wanita membonceng lelaki yang bukan muhrimnya pula?
Dari pengalaman saya, geng surau di Universiti Malaya cukup suka kerana mereka akan “memburu” pasangan tersebut untuk diberi tazkirah (don’t ask how I know this).
Menunggang motosikal juga memerlukan penggunaan pemakaian keselamatan yang lengkap.
YB mahu berkongsi helmet dengan orang lain? Pernah dengar perkataan "kutu"?
Saya faham, dan saya setuju, negara kita perlukan lebih banyak pekerjaan untuk golongan muda yang semakin ramai, terutama untuk anak-anak Melayu kita.
Saya juga bersetuju Malaysia mempunyai masalah pengangkutan yang kronik kerana kita tidak mempunyai sistem pengangkutan "last-mile" yang murah dan efisien, tidak seperti tuk-tuk di Thailand atau angkut dan ojek di Indonesia.
Perancangan bandar yang menyedihkan di Malaysia menyukarkan kita mewujudkan rangkaian bas awam yang baik. Ada banyak laluan bas awam yang merugikan dan tidak ada syarikat yang mahu rugi.
Tetapi, mewujudkan budaya ojek bukanlah jawapan yang bijak. Ia adalah satu cadangan yang saya terpaksa katakan, tidak dilakukan dengan kajian terperinci.
Walaupun ojek untuk mengangkut barang sekalipun, kita kena kaji balik keberkesanan dan juga impak pada keselamatan jalanraya kerana apapun, itulah objektif utama - mengurangkan kadar kematian di jalanraya.
Saya rasa YB perlu membiarkan tugas pengangkutan ini pada menteri yang berkaitan kerana walaupun kita telah memandu selama berpuluh-puluh tahun, tidak semestinya kita adalah pemandu yang hebat.
Saya yang gila motosikal dan hanya lepasan universiti tempatan pun merasakan idea ini tidak bijak dan merupakan satu langkah ke belakang.
There should be a better way.
Wallahuallam.