Yamaha XSR 155 untuk pasaran Thailand - harga dari RM12 ribu

oleh Mohamad Hanif|
Segmen kenderaan beroda dua di pasaran Thailand sememangnya cukup meriah, pelbagai model yang ditawarkan untuk memenuhi keperluan yang pelbagai dan tidak dapat tidak, kami sememangnya cemburu dengan apa yang ada di sana.

Terkini, sebuah lagi model baharu yang memasuki pasaran Thailand adalah Yamaha XSR 155, sebuah motosikal naked sports yang hadir dengan rekaan retro dan ditujukan buat mereka yang inginkan kelainan.

 


Membawakan nadi enjin silinder tunggal VVA sejukan cecair yang sama terdapat pada YZF-R15, pihak Yamaha Thailand tidak memberikan sebarang angka kuasa mahupun daya kilas yang dihasilkan oleh motosikal ini.

Namun, atas kertas ia tidak akan lari jauh dari angka rasmi yang diterbitkan untuk R15 - 19.3 hp dan juga 15 Nm yang dipadankan dengan transmisi enam nisbah kelajuan. 
 


Aspek tunggangan XSR 155 ini dibantu dengan penggunaan fork teleskopik di hadapan dan sistem suspensi monoshock di belakang yang boleh dilaras, manakala sistem brek cakera pula dilengkapkan pada kedua-dua roda. 

Dari segi tunggangan, kedudukan penunggang sedikit tinggi berbanding R15, iaitu 810 mm dari aras tanah, manakala tayar bersaiz 110/70 (hadapan) dan 140/70 (belakang) membaluti rim aloi bersaiz 17 inci. 
 


Kapasiti tangki bahan api pula mampu memuatkan 10 liter petrol dengan berat bersih XSR 155 ini dicatatkan pada angka 134 kilogram. 

Dari segi penawaran warna, terdapat empat pilihan diberikan oleh Yamaha Thailand iaitu Premium Grey, White/Red Sports Heritage, Black Elegance dan juga Green Wanderlust. 
 


Harga jualan pula bermula dari 91,500 Baht (RM12,364) dan sebagai perbandingan, harga jualan YZF-R15 dengan enjin yang sama di Malaysia bermula dari RM11,988. 

 

Add new comment

Careta Ad