Yamaha Tracer 9 GT 2026 rasmi di Malaysia: Evolusi Sport-Touring Berteras Teknologi, dari RM71,888

oleh Danial Yasin Suhaimi|
Pelancaran Yamaha Tracer 9 GT serba baharu oleh Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) bukan sekadar memperkenalkan satu model baharu untuk tahun 2026, sebaliknya menjadi gambaran jelas hala tuju Yamaha dalam segmen big bike Malaysia.

Dalam landskap motosikal melebihi 500cc, segmen touring kekal sebagai antara kategori paling konsisten berkembang, didorong oleh keperluan penunggang yang mahukan keseimbangan antara prestasi, keselesaan dan kebolehgunaan harian. 

Di sinilah Tracer 9 GT memainkan peranannya sebagai model sport-touring tulen, bukan kompromi antara beberapa segmen, tetapi satu pakej lengkap yang dibina khusus untuk jelajah jarak jauh dan tunggangan harian berprestasi tinggi.

 

2

 

Tracer 9 GT masih dikuasakan enjin CP3 890cc tiga silinder sebaris Yamaha, nadi yang sudah terbukti dari segi karakter dan fleksibiliti. 

Konfigurasi tiga silinder ini memberikan kelebihan utama dari segi penghantaran tork linear pada RPM rendah hingga sederhana, menjadikannya ideal untuk situasi tunggangan touring.

Tracer 9 GT juga masih dibina atas rangka aluminium Deltabox Yamaha yang ringan tetapi tegar, memberikan keseimbangan antara kestabilan kelajuan tinggi dan keupayaan mengendalikan selekoh dengan yakin. 

 

3

 

Apa yang benar-benar membezakan varian GT ini ialah penggunaan semi-active electronic suspension.

Sistem ampaian tersebut menyesuaikan tahap redaman secara automatik berdasarkan input masa nyata seperti kelajuan, pecutan, brek, dan keadaan permukaan jalan. 

Tracer 9 GT turut menampilkan pakej elektronik lengkap melalui sistem Yamaha Ride Control (YRC), yang membolehkan penunggang menyesuaikan penghantaran kuasa enjin, traction control, slide control, wheelie control serta engine brake mengikut gaya tunggangan dan keadaan jalan.

 

4

 

Dipadankan dengan quick shifter generasi ketiga yang menyokong pertukaran gear naik dan turun, pengalaman tunggangan menjadi lebih lancar terutamanya ketika jelajah jauh.

Antara ciri paling menonjol pada Tracer 9 GT baharu ialah penggunaan lampu hadapan Matrix LED, tidak seperti sistem lampu adaptif biasa, teknologi ini melaraskan LED individu secara automatik bagi memastikan pencahayaan maksimum tanpa menyilaukan pengguna jalan lain.

Dari aspek aerodinamik, fairing baharu serta windscreen boleh laras secara elektronik telah diuji dalam terowong angin, memastikan perlindungan angin yang efektif pada kelajuan tinggi tanpa menjejaskan kestabilan atau pengendalian motosikal.

 

5

 

Yamaha turut memberi perhatian kepada aspek ergonomik dengan rekaan tempat duduk baharu yang memudahkan capaian kaki ke tanah, satu faktor penting terutamanya bagi motosikal touring yang sering digunakan dalam pelbagai situasi trafik.

Ciri tambahan seperti Smart Key System, Emergency Stop Signal (ESS), aplikasi Y-Connect dengan navigasi bersepadu, serta paparan TFT warna penuh 7 inci mengukuhkan lagi imej Tracer 9 GT sebagai motosikal sport touring moden. 

Dengan harga RM71,888, Tracer 9 GT meletakkan dirinya sebagai penanda aras baharu dalam segmen sport-touring Yamaha, dan menjadi penunjuk jelas visi Yamaha untuk tahun 2026.

 

Berita Berkenaan

Pelancaran Motosikal
Pelancaran itu berlangsung sempena Yamaha Automatic World Roadshow yang diadakan di Mayang Mall,…
Berita Domestik
Pilihan warna baharu untuk Yamaha EGO Gear akan tersedia di semua pengedar sah Yamaha bermula 15…
Berita Domestik
Bermula hari ini, para pelanggan boleh mula mendapatkan dua warna baharu untuk versi standard iaitu…