
Yamaha turut menukar bentuk kemasukan dan daya kilas meningkat pada rpm rendah dan menambah baik prestasi tunggangan di laluan off-road pada kelajuan rendah.
Mod tunggangan atau Ride Mode Selection System memberikan dua pilihan kepada penunggang mengikut keadaan jalan.
Mod Sport menjadikan tindak balas pendikit lebih tajam untuk tunggangan off-road.
Mod Explorer memberikan penghantaran kuasa lebih lancar untuk tunggangan bandar dan jauh (touring).

Selain itu Sistem Kawalan Cengkaman (TCS) membantu mengelakkan gelinciran tayar secara berlebihan, meningkatkan stabiliti dan keselamatan.
Sistem ini boleh dihidupkan atau dimatikan mengikut keperluan penunggang. Penukar Cepat ditawarkan sebagai aksesori pilihan.
Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) sedia ada mempunyai tiga tetapan iaitu depan dan belakang aktif, kedua-dua dipadamkan atau hanya roda depan diaktifkan.
Ténéré 700 2025 menggunakan sepit udang terbalik 43 milimeter dengan tetapan injap baharu dan pelaras pramuatan (preload adjuster) untuk penyesuaian suspensi lebih baik.

Penunggang menerima faedah dari segi pergerakan awal lebih lancar dan meningkatkan maklum balas cengkaman tayar ke jalan.
Bahagian belakang menggunakan penyerap hentak tunggal bersama tangki simpanan dengan jarak gerakan (stroke length) lebih tinggi.
Bersama karakteristik redaman Yamaha memaklumkan rekaan ini dapat mengelakkan atau sukar untuk termampat sepenuhnya (bottom out).
Suspensi belakang dan depan berfungsi secara bersama untuk memberikan prestasi yang baik walaupun dalam tunggangan mencabar.

Selain sistem elektronik, Yamaha turut menumpukan pada ergonomik dan tunggangan.
Penunggang dan pembuncang Ténéré 2025 duduk di atas pelana baharu dan Yamaha turut mengubah tangki minyak.
Bahagian atas tangki dibentuk semula untuk bahagian atas lebih rendah dan condong ke bawah bagi membantu pergerakan penunggang.
Kedudukan tuil cekam diubah untuk kawalan lebih baik. Titik pengaktifan cekam yang bersambung pada enjin dialihkan 35 darjah ke belakang.

Pelindung direka baharu bagi mengelakkan gangguan ketika memakai but.
Pakej reka bentuk Ténéré 2025 turut merangkumi reraut baharu yang lebih jelas dari sisi. Potongan bahagian reraut depan sisi lebih kemas.
Bahagian depan berbeza pada lampu LED empat unit baharu yang diubah daripada bulat kepada segi empat untuk penampilan lebih menyerlah.'
Pemasangan juga lebih tinggi untuk pencahayaan lebih baik. Yamaha menawakan tiga warna iaitu Biru, Kelabu Kusam dan Biru Lembut ala model rali awal 80-an.

Skrin menegak baharu TFT 6.3 inci direka khas untuk Ténéré 700. Jari penunggang mengawal tetapan melalui suis pemegang bersepadu baharu.
Terdapat dua tema untuk dipilih iaitu Explorer dan Street. Port pengecas USB-C tersedia sebagai ciri standard.
Aplikasi Y-Connect menghubungkan motosikal dengan telefon pintar untuk makluman panggilan dan pesanan dan navigasi Google Maps secara berturut (turn by turn).
Lagi perubahan seperti suis tongkat yang dialihkan dan mempunyai pelindung bagi mengelak kerosakan akibat terkena batu, kayu dan sebagainya.

Pemijak kaki juga lebih besar untuk keselesaan dan kawalan lebih baik. Getah boleh ditanggalkan untuk cengkaman lebih baik semasa tunggangan off-road.
Isyarat membelok mempunyai fungsi kelipan dua peringkat untuk meningkatkan keterlihatan dan auto padam bagi mengelakkan lampu isyarat terlupa dimatikan.
Yamaha Ténéré 700 ABS ditawarkan di Jepun pada harga 1,474,000 yen (RM42,610).
Penulis: Muhammad Md Tajudin
