Pasukan Yamaha Tekhne AHM Motor Sports bakal bersaing dalam dua kategori iaitu CP150 dengan menggunakan jentera Yamaha Y15ZR dan CP125 menggunakan jentera Yamaha Lagenda.
Tiga barisan pelumba bakal mewakili pasukan dalam saingan kategori CP150 itu, antaranya adalah Iqbal Amri Malik, Faiz Zekri dan Syukran Aizat.
Manakala bagi kategori CP125, pasukan membariskan dua orang pelumba sahaja, iaitu Afizad Supaat dan Iqram Danish.
Pasukan Yamaha Tekhne AHM Motor Sports tidak asing lagi dalam sukan permotoran dua roda ini dan bersedia untuk beri saingan sepenuhnya untuk memperoleh lebih kejayaan pada tahun ini.
Di sebalik kejayaan Yamaha Tekhne AHM Motor Sports adalah dari perkongsian strategik dengan Yamaha selaku pembekal jentera dan Tekhne yang merupakan syarikat alat ganti automotif selaku penaja utama.
Perikatan tersebut telah mendorong pasukan ke barisan hadapan dunia perlumbaan, di mana mereka mendominasi dengan teknologi canggih mereka dan komitmen yang tidak berbelah bagi untuk kecemerlangan.
Menurut pasukan, bagi menghadapi musim baharu, ia dikatakan agak mencabar oleh kerana peraturan baharu yang ditetapkan.
Peraturan larangan menggunakan bateri litium-ion dalam kategori CP150 dan CP125 bakal menjejaskan prestasi jentera dari segi kuasa dan kelajuan.
Walaubagaimanapun, Pasukan Yamaha Tekhne AHM Motor Sports yakin dalam menangani isu tersebut dengan pengalaman yang tinggi dalam sukan permotoran dua roda ini.
Pasukan Yamaha Tekhne AHM Motor Sports akan mula beraksi pada saingan perlumbaan pusingan pertama yang juga sebagai perlumbaan pembukaan musim baharu Malaysian Cub Prix 2024 pada 2-3 Mac ini di Jasin, Melaka.