Biarpun masih sarat dengan pelekat samaran, anda boleh melihat rekaan sebenar Yamaha E01 yang dilihat bersaiz seperti skuter NMAX, kehadiran penghadang angin, serta elemen lampu utama yang diambil daripada model YZF-R1.
Model prototaip E01 ini turut menampilkan skrin paparan LCD monokrom yang memaparkan status seperti kapasiti bateri, kelajuan, paparan masa, serta beberapa simbol seperti lampu posisi, simbol ABS dan isyarat selular - memberikan bayangan skuter ini boleh menyokong sambungan kepada peranti pintar.
Selain daripada itu, ia juga turut hadir rim bersaiz 13 inci, brek ABS dua saluran dan sistem kekunci pintar.
Spesifikasi penuh masih lagi dirahsiakan oleh Yamaha, namun terdapat beberapa laporan mencadangkan skuter ini mampu bergerak sejauh 64 hingga 80 km untuk sekali cas penuh, dan kemungkinan besar ia bakal hadir dengan teknologi penukaran bateri pada masa akan datang seperti yang sedang dibangunkan oleh Yamaha bersama pengeluar lain.
Sumber: RideApart