Yamaha pamer TRICITY300 di EICMA 2019, guna enjin XMax

oleh Muhammad Md Tajudin|
Seperti kebiasaan, pameran EICMA di Milan, Itali bukan sahaja menonjolkan motosikal berkuasa tinggi dan hebat malah turut menjadi medan motosikal unik dan mesra penunggang seperti Yamaha TRICITY300 LMW. 

LMW merujuk kepada Leaning Multi-Wheel yang merupakan terma umum untuk kenderaan yang mempunyai tiga atau lebih roda dengan keupayaan menyondong (lean) seperti motosikal.

TRICITY300 baharu dilengkapi enjin 292cm3 empat lejang sejukan air SOHC dengan teknologi BLUE CORE.

LMW ini adalah berkenaan mobiliti dan Yamaha telah menjalankan kajian mengenainya. Kenderaan pertama dengan dua roda depan yang dibangunkan Yamaha ialah model prototaip Passol pada tahun 1977.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02
Yamaha TRICITY300

Tahun berganti tahun, pembangunan intensif untuk LMW bermula beberapa tahun selepas krisis ekonomi global pada tahun 2008.

Idea untuk mobiliti baharu juga timbul susulan kesesakan yang kronik di bandar-bandar besar Eropah sehingga menjadi masalah sosial pada waktu itu.

Yamaha mahukan sebuah kenderaan yang lebih kecil daripada kereta dan tidak seperti skuter atau motosikal sedia ada. Dari situ lahirlah Tricity 125 yang dilancarkan di Thailand pada tahun 2014 dan disusuli di Jepun dan beberapa negara lain.

Kemuncak LMW keluaran Yamaha apabila Niken dilancarkan pada tahun 2018. LMW ini berkuasa tinggi dengan enjin 847cc yang mempunyai output 115 ps pada 10,000 rpm dan 87.5 Nm pada 8,500 rpm.

TRICITY300 adalah siri terbaru dan diposisikan sebagai LMW kelas pertengahan dengan konsep The Smartest Commuting Way.

Yamaha TRICITY300

Ia hadir dengan kestabilan yang baik dan pengendalian natural semasa membelok di samping enjin BLUE CORE yang berkuasa dan mesra alam sekitar.

Enjin yang digunakan adalah sama seperti XMax yang ditala semula untuk TRICITY300.

TRICITY300 juga adalah motosikal produksi pertama Yamaha yang mempunyai sistem Tilt-lock Assist bagi membantu kenderaan kekal tegak dan memberikan tunganggan yang selesa.

Fungsi itu berkesan digunakan semasa berhenti di lampu isyarat agar TRICITY300 tidak jatuh ke sebelah dan turut memudahkan penunggang untuk menggunakan tongkat tengah apabila hendak diparkir.

Untuk kemudahan penunggang, LCD memaparkan pelbagai maklumat manakala bahagian bawah kerusi boleh memuatkan dua topi keledar muka penuh. Juga dilengkapkan ialah plug 12 volt dan penghidup bebas kunci.

Yamaha TRICITY300

Berdasarkan sambutan Tricity 125 yang kurang memberangsangkan nampaknya Yamaha tidak berputus asa dengan LMW apabila memperkenalkan TRICITY300 ini.

Seperti yang dinyatakan di atas, LMW bukan sebuah kereta atau motosikal, Yamaha membangunkannya sebagai sebuah mobiliti atau penyelesaian kepada pengangkutan sedia ada.

Penulis sukakan idea Yamaha ini dan berhajat mahu mencubanya. Menarik bukan?

Penulis: Muhammad Md Tajudin

Berita Berkenaan

Berita Global
Reka bentuk PAS Wagon dibuat mesra pengguna melalui rangka bentuk U yang rendah dan mudah untuk…
Berita Domestik
Menurut kenyataan dari HLYM, mereka akan mengadakan satu program untuk menaiktaraf atau…
Berita Global
Yamaha Tricity 125 Matte Light Green Gray Metallic   Model 2024 tampil dengan warna baharu…