Yamaha NVX 2021 kini dengan sokongan aplikasi pintar Y-Connect!

oleh Mohamad Hanif|
Pasaran skuter di Malaysia terus meriah dengan pelancaran rasmi model Yamaha NVX 2021 oleh Hong Leong Yamaha Motor, sebentar tadi.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Yamaha NVX 2021 merupakan model Yamaha pertama yang dilengkapi dengan ciri sambungan aplikasi pintar Y-Connect, membolehkan penunggang menghubungkan peranti pintar mereka untuk mengakses informasi penting seperti:

  • minyak pelincir
  • keadaan bateri
  • kadar penggunaan bahan api
  • peringatan servis
  • lokasi terakhir skuter

Yamaha NVX 2021 didatangkan dengan enjin silinder tunggal Yamaha Blue Core 155 cc dengan teknologi VVA menghasilkan kuasa setinggi 15.45 PS @ 8,000 rpm dan daya kilas 13.9 Nm @ 6,500 rpm.

 


Antara kelengkapan yang dimuatkan termasuklah skrin paparan digital LCD yang menyokong aplikasi Y-Connect serta paparan notifikasi panggilan dan mesej, lampu utama LED, lampu belakang LED dengan efek tiga dimensi, serta soket pengecasan kuasa DC 12V.

Kapasiti tangki bahan api pula kini lebih besar, 5.5 liter jika dibandingkan dengan 4.6 liter pada generasi terdahulu, membolehkan skuter ini mencapai jarak perjalanan sejauh 200 km untuk setangki penuh.

 


Yamaha NVX 2021 ditawarkan dalam dua versi, iaitu versi Standard dan versi ABS di mana Yamaha NVX ABS mendapat beberapa tambahan ciri seperti brek ABS saluran tunggal, sistem bantuan mula tanpa kunci (Smart Key), serta suspensi belakang dengan sub tangki yang menawarkan keselesaan yang tersendiri.

Yamaha NVX 2021 boleh didapati pada harga jualan bermula dari RM8,998 untuk versi standard, dan RM10,998 untuk versi ABS.

 


Versi standard ditawarkan dengan warna merah dan cyan, sementara versi ABS pula menerima layangan warna Platinum SE dan GP Blue yang dibangunkan daripada bahan khas aluminium dan resin premium.

Yamaha NVX 2021 boleh didapati di kesemua pusat pengedar sah Yamaha bermula Mei 2021.