Yamaha NMAX 155 ABS 2022 di Jepun, buatan Indonesia!

oleh Muhammad Md Tajudin|
Yamaha NMAX 155 ABS
Yamaha NMAX 155 ABS
NMAX adalah satu daripada siri skuter MAX buatan Yamaha seperti Xmax, Tmax dan turut mempunyai sesaran enjin sekecil 125 cc.

Siri MAX dijual di banyak buah negara dari Asia hingga ke Eropah.

Bermula 25 Mei, Yamaha Motor Co., Ltd akan menawarkan NMAX 155 ABS 2022 di Jepun.

Reka bentuk masih sama seperti banyak pasaran lain dan model Jepun dilengkapi pelbagai ciri dan fungsi seperti Sistem Henti dan Mula (Stop & Start) dan sebagainya.

Menggerakkan NMAX ABS 155 ialah enjin dengan teknologi VVA dan Blue Core yang berkuasa 15 ps pada 8,000 rpm dan tork 14 Nm pada 6,500 rpm. 

Diameter injap kemasukan dibesarkan kepada 20.5 mm untuk daya kemasukan lebih cekap.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02
Yamaha NMAX 155 ABS

Turut dilengkapi ialah Smart Motor Generator untuk enjin yang senyap dan rendah getaran ketika dihidupkan.

Teknologi itu berfungsi sebagai motor penghidup (starter motor) apabila motosikal dihidupkan dan penjana (generator) ketika menunggang.

Penggunaannya juga bermakna motor penghidup konvensional dan gear rendah tidak diperlukan apabila ia mampu membekalkan kuasa.

Satu lagi ciri utama ialah Sistem Henti & Mula yang membantu dalam penggunaan bahan api lebih rendah.

Yamaha NMAX 155 ABS

Sistem ini menghentikan operasi enjin secara automatik ketika berhenti seperti di lampu isyarat seterusnya mengurangkan penggunaan bahan api dan pelepasan emisi.

Seperti kelaziman, enjin dihidupkan kembali apabila pendikit dipulas.

Sesetengah motosikal sekarang sudah seperti kereta dengan aplikasi telefon pintar.

NMAX 155 ABS boleh dihubungkan dengan aplikasi YAMAHA Motorcycle Connect atau Y-Connect dan mempunyai fungsi berikut:

  • Pemakluman panggilan masuk, e-mel, baki bateri telefon pintar
  • Kelajuan enjin, status ekonomikal
  • Pemakluman pengesyoran masa selenggara untuk minyak enjin dan bateri
  • Pengurusan penggunaan bahan api
  • Lokasi parkir
Yamaha NMAX 155 ABS

Pakej atau ciri-ciri yang dinyatakan di atas sudah dilengkapi pada NMAX ABS 155 di pasaran lain seperti di Indonesia, Filipina dan Singapura. 

Di beberapa pasaran, model ini dikenali sebagai NMAX ABS 155 Connected/ABS.

Cumanya dari gambar yang dikongsi, suspensi belakang pasaran Jepun tidak mempunyai tabung atau sub-tank seperti model ketiga-tiga negara tersebut.

Rekabentuk pula sama dengan grafik ringkas dan lampu LED yang kini semakin banyak dijadikan ciri standard jentera dua roda.

Yamaha NMAX 155 ABS

Berkenaan harga, NMAX ABS 155 yang diimport dari Indonesia ditawarkan pada 407,000 yen (RM13,646).

NMAX pasaran tempatan pula hadir dalam pakej asas pada harga yang jauh lebih murah.

Model sebegini atau NMAX ABS 155 Connected/ABS belum lagi memasuki pasaran.

Penulis: Muhammad Md Tajudin