Tidak dapat dinafikan, masa hadapan dunia automotif adalah kenderaan berkuasa elektrik dan bagi dunia dua roda, perubahan trend ini tidak dapat dielakkan, apatah lagi bekalan tenaga fosil kian merudum saban tahun.
Sudah banyak pengeluar yang tampil dengan motosikal elektrik tersendiri, malah di Taiwan juga terdapat skuter elektrik dengan ciri bateri mudah ganti.
Yamaha juga kini sedang dalam usaha untuk mempelbagaikan lagi produk motosikal berkuasa elektrik, dan mereka kini bereksperimentasi lokasi slot pengecasan untuk motosikal elektrik MT-07, dan superbike R1 berdasarkan rekaan paten yang didapati daripada European Patent Office.
Selain daripada lokasi tipikal slot pengecasan yang diletakkan menegak di bahagian atas 'tangki bahan api', Yamaha mencadangkan supaya slot pengecasan dialihkan ke bahagian kanan tangki.
Menurut Yamaha, lokasi ini memudahkan terutama ketika motosikal diparkir menggunakan side-stand.
Sebuah lagi konfigurasi dari paten tersebut turut mencadangkan supaya sebuah paparan LCD/TFT digunakan bagi menyembunyikan slot pengecasan sebenar motosikal elektrik.
Manakala gambaran sebuah R1 mencadangkan slot pengecasan yang diletakkan di bahagian hadapan motosikal, di mana ia diintegrasikan sekali bersama pemasangan lampu utama hadapan.
Ini merupakan sebahagian daripada inovasi yang Yamaha bawakan namun tidak dapat dipastikan bila tarikh sebenar ia akan menjengah pasaran.
Sebelum ini, jenama garpu penala dari Jepun ini sudah menandatangani perjanjian empat penjuru bersama Kawasaki, Honda dan Suzuki bagi membangunkan sebuah sistem penukaran bateri pantas bagi motosikal elektrik.
Baca: Kerjasama empat penjuru Kawasaki, Yamaha, Honda dan Suzuki
slot pengecasan pada motosikal elektrik Zero
Sumber: European Patent Office, Ride Apart