Yamaha FZ 25, FZS 25 dilancarkan di India - patuh peraturan emisi BS-VI (Euro 6)!

oleh Mohamad Hanif|
Pada acara Auto Expo 2020 yang sedang berlangsung pada ketika ini, Yamaha Motor India mengumumkan pengenalan rasmi dua buah model roadster iaitu FZ 25.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Motosikal kelas suku liter tersebut kini didatangkan dengan spesifikasi emisi Bharat Stage 6 (BS-VI) - peraturan emisi yang setanding dengan Euro 6 - dan boleh didapati dalam dua varian utama iaitu FZ 25 dan FZS 25.

Jika dibandingkan dengan model terdahulu (spesifikasi BS-IV), model terkini FZ 25 menerima kemaskini berbentuk lampu utama yang direka semula dan hadir dengan unit lampu jenis LED. 

 


Selari dengan perkembangan semasa, skrin paparan pada FZ 25 ini didatangkan dengan unit digital sepenuhnya. 

Dari segi bentuk luaran, kedua-dua model membawakan rekaan yang identikal dan muskular, hanya dibezakan dengan penawaran warna dan aksesori pilihan seperti visor yang lebih tinggi, dan knucle guard.

Model asas FZ 25 ditawarkan dalam dua warna iaitu Racing Blue dan Metallic Black, manakala versi premium FZS 25 pula datang dengan warna Dark Matte Blue, Dark Cyan dan Metallic White, di mana dua warna terawal dipadankan dengan rim aloi berwarna emas. 
 


Seperti yang disebutkan di atas, enjin asal silinder tunggal sejukan udara (!) bersesaran 249 cc ini ditala bagi mematuhi peraturan emisi BS-VI, namun masih mampu menghasilkan 20.5 hp dan daya kilas 20.1 Nm yang dipadankan dengan kotak gear lima kelajuan. 

Ciri keselamatan standard turut dilengkapkan seperti ABS dual-channel serta topang sisi yang dilengkapi dengan suis cut-off enjin. 
 


Dengan harga yang masih belum didedahkan secara rasmi, Yamaha FZ 25 ini bakal bersaing secara terus dengan model seperti Suzuki Gixxer 250 dan Bajaj Dominar 250.